X

Kindly register in order to view this article
!

Kegiatan lombong mata wang kripto punca SEB rugi RM4.32 juta

Kegiatan perlombongan mata wang digital atau kripto menyebabkan kerugian kira-kira RM4.32 juta kepada syarikat pembekal tenaga negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB). - Gambar hiasan 123RF
A
A

KUCHING - Polis Sarawak membongkar kegiatan perlombongan mata wang digital atau kripto yang menyebabkan kerugian kira-kira RM4.32 juta kepada syarikat pembekal tenaga negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB).

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kejayaan itu hasil serbuan ke atas lima premis rumah kedai di sebuah pusat komersial di bandar raya Miri, kira-kira 750 kilometer ke utara dari sini, pada Selasa dan Rabu lalu.

“(Kesemua) premis yang diserbu dipercayai menjalankan aktiviti tersebut selama lebih kurang 36 bulan dan telah menyebabkan kerugian RM120,000 sebulan kepada pihak SEB ekoran kecurian bekalan elektrik akibat penyambungan elektrik secara haram,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, kelima-lima serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dengan dibantu pihak SEB, namun tiada tangkapan dibuat.

Sebanyak 759 unit mesin perlombongan kripto berjenama Antminer Bitmain, 27 unit modem pelbagai jenama, 12 unit router pelbagai jenama, lima gulung set wayar komputer, lima gulung wayar mesin perlombongan digital, seunit komputer riba dan satu unit pemprosesan pusat (CPU) turut dirampas dalam serbuan tersebut.

Hakemal berkata, polis kini sedang mengenal pasti penglibatan pemilik premis berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian.

“Seksyen 379 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

“Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Selain itu, siasatan turut dijalankan oleh pihak Kementerian Utiliti Sarawak di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik Sarawak yang memperuntukkan penalti sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

“Anggota masyarakat diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesyaki terdapat premis yang menjalankan aktiviti mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto atau pusat panggilan perjudian dalam talian, sindiket penipuan dan sebagainya,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!