20 individu hadir jamuan rai kedai baharu dikompaun

Antara individu yang dikompaun kerana ingkar PKP di Pekan Lama pada Rabu.
Antara individu yang dikompaun kerana ingkar PKP di Pekan Lama pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Sekumpulan individu yang leka menikmati jamuan pembukaan kedai baharu dikenakan kompaun akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pekan Lama, kira-kira jam 11.30 malam pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua 20 individu termasuk 11 wanita berusia antara 20 hingga 39 tahun terdiri daripada pemilik dan pengunjung premis itu ditahan kerana didapati berkumpul dalam tempoh PKP.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kesemua mereka berada di premis terbabit yang beroperasi lebih masa, berkumpul di meja makan tanpa menjaga penjarakan fizikal, tidak menyediakan alat pemeriksaan suhu, tiada buku pendaftaran dan tiada catatan dibuat oleh pelanggan.

"Semasa pemeriksaan, kita dapati kesemua mereka berkumpul dalam restoran tersebut bagi meraikan pembukaan kedai baharu.

"Antara kesalahan termasuk tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP), gagal mematuhi penjarakan fizikal dan beroperasi lebih masa," katanya.

Tindakan dikenakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Mereka dikompaun dan perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah," katanya.

Artikel Berkaitan: