Ku Li digesa runding, pelawa Tun M sertai UMNO

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah digesa segera menganjur rundingan untuk mempelawa bekas presiden parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke pangkuan UMNO.

Veteran UMNO, Tan Sri Yussuf Latiff berkata, UMNO harus menyambut baik kenyataan Dr Mahathir yang menegaskan beliau boleh kembali kepada UMNO jika parti terbesar orang Melayu itu kembali berpegang kepada dasar awalnya iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

Menurutnya, Tengku Razaleigh atau Ku Li antara pemimpin yang masih dihormati oleh semua pihak malah Dr Mahathir sendiri pernah berjumpa dan berbincang dengan bekas menteri kewangan berkenaan bagi mencari kaedah terbaik perpaduan orang Melayu.

“Tengku Razaleigh mempunyai kapasiti sebagai penasihat UMNO dan boleh menasihati semua pihak supaya berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima semula Dr Mahathir demi kepentingan bangsa, agama dan tanah air," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa pemimpin UMNO sekarang perlu memikirkan masa depan orang Melayu dan mengetepikan kepentingan diri dan jawatan mereka.

“Sudah tiba masanya pemimpin UMNO benar-benar membuktikan mereka berjiwa besar jika mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mereka harus menerima sesiapa sahaja yang mahu kembali menyokong dan memastikan UMNO menang pada pilihan raya nanti,” katanya.

Yussuf berkata, Dr Mahathir juga perlu kembali ke pangkuan UMNO sebagai mengenang perjuangan pemimpin terdahulu iaitu Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua pemimpin itu berkorban demi parti dan negara tanpa sebarang kepentingan diri malah tidak mengaut sebarang kekayaan peribadi walaupun ditawarkan.

Katanya lagi, sekiranya tidak bersetuju dengan individu atau pemimpin dalam parti sekalipun, UMNO tidak seharusnya menjadi mangsa sehingga hilang kuasa pemerintahan atau dibatalkan pendaftarannya.

“Dr Mahathir boleh duduk semeja dengan Tengku Razaleigh bagi berbincang memberi cadangan mengenai perubahan yang harus dilakukan oleh UMNO bagi memastikan UMNO kembali berkuasa demi memperjuangkan nasib orang Islam dan Melayu yang kini sering diperkotak-katikkan,” katanya.

Beliau berkata, dengan penyertaan Dr Mahathir, parti yang lahir atas serpihan UMNO digesa dibubarkan dan seterusnya menyertai UMNO seperti yang pernah dilakukan oleh Parti Melayu Semangat 46.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M akui masih sayang UMNO

Dr Mahathir dalam program Wawancara Khas Bersama Tun M anjuran Sinar Harian mengakui beliau boleh kembali kepada UMNO dengan syarat parti itu kembali kepada perjuangan asalnya.

Beliau turut mengakui masih sayangkan UMNO apatah lagi pernah menjadi presiden selama 22 tahun namun sayang itu tidak kepada pemimpinnya dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan mereka yang terbabit dalam kes rasuah.