X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja antara dua ditahan curi elektrik lombong bitcoin

Osman ketika meninjau operasi premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi bekalan elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang bitcoin di Kamunting pada Rabu.
A
A

TAIPING - Remaja lelaki berusia 19 tahun antara dua yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan curi bekalan elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang bitcoin di Kamunting di sini pada Rabu.

Tangkapan ke atas suspek bersama seorang lagi lelaki berusia 34 tahun itu dibuat hasil Op Bersepadu Bitcoin yang dijalankan di daerah berkenaan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekitar jam 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan mendapati dua lelaki tempatan terbabit telah menjalankan kegiatan berkenaan sejak tiga bulan lalu sehingga mengakibatkan kerugian kepada TNB sebanyak RM200,000 sebulan.

"Hasil penahanan itu, polis berjaya merampas beberapa peralatan digunakan bagi tujuan mencuri elektrik di dua premis berasingan antaranya 287 unit mesin bitcoin, dua unit monitor, dua unit pemprosesan komputer (CPU), modem WiFi dan kabel elektrik," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menurutnya, polis telah mendapatkan tahanan reman ke atas dua lelaki itu selama empat hari sehingga 21 Februari ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun yang sama.

"Kegiatan curi elektrik tanpa sambungan bacaan meter bagi tujuan melombong bitcoin sering berlaku sejak kebelakangan ini.

"Kebiasaannya mereka akan mengenal pasti bangunan tidak berpenghuni yang jauh dari kawasan penempatan dan mengubah suai rekaan dalaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!