X

Kindly register in order to view this article
!

Kapal layar terbakar di Langkawi, tujuh kru selamat

Antara kru kapal yang terselamat dalam kebakaran di kedudukan lebih kurang 0.6 batu nautika timur laut Pulau Singa Kecil, Langkawi pada Khamis.
A
A

LANGKAWI - Seramai tujuh kru kapal terselamat dalam kebakaran melibatkan sebuah kapal layar di kedudukan lebih kurang 0.6 batu nautika timur laut Pulau Singa Kecil, Langkawi pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira jam 8.18 pagi itu disedari oleh Kapal Maritim KM Tenggol sebelum menyalurkan maklumat kejadian kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi.

Menurutnya, Bot Kilat 6 Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan selain turut menyalurkan maklumat kepada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar untuk bantuan lain.

"Seramai tujuh kru kapal yang kesemuanya lelaki berjaya dipindahkan ke KM Tenggol dan dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan berikutan keadaan angin yang kuat menyukarkan kerja-kerja pemadaman.

"Kita turut menerima bantuan aset dari agensi lain iaitu KD Mahamiru dan Bot RHIB dari TLDM, Bot PA 4 dari PPM dan MV Suhail dari Jabatan Laut Malaysia yang bersama JBPM untuk memadamkan kebakaran.

"Tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan pihak kami akan membuat pemantauan berterusan. Ejen kapal layar tersebut juga telah dihubungi untuk memaklumkan mengenai kejadian terbabit," katanya.

Mohd Zawawi berkata, beliau turut menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.

Selain itu katanya, APMM juga akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Zon Maritim Malaysia.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!