11 kelab sudah mohon Lesen AFC 2022

AB GHANI
AB GHANI
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan 11 kelab Liga Malaysia (Liga-M) telah menghantar pengesahan permohonan Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi musim 2022.

10 daripada 11 kelab itu terdiri pasukan Liga Super - Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United FC, Petaling Jaya (PJ) City FC, Perak FC, Kedah Darul Aman FC, Selangor FC, Penang FC, Terengganu FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur FC manakala Sarawak FC wakil tunggal Liga Premier.

Bagaimanapun, dua lagi kelab iaitu Sri Pahang FC dan Sabah FC tidak memohon lesen AFC untuk musim depan.

Badan pentadbir Liga-M turut mengesahkan 11 kelab itu antara 18 pasukan yang sudah menghantar pengesahan permohonan Lesen Kelab Kebangsaan bagi musim 2022 sebelum pengesahan permohonan itu ditutup pada 9 Februari lepas.

Dalam kenyataan pada Rabu, Unit Pelesenan Kelab MFL berkata pengumuman mengenai perkara itu adalah sebagai pemakluman awam kepada semua pihak.

Pada masa sama, MFL memaklumkan Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) dibuka bermula Rabu dan setiap kelab diminta mengemukakan beberapa dokumen diperlukan mengikut tarikh ditetapkan.

Menurut MFL, tarikh akhir mengemukakan dokumen berkaitan Kriteria Personel & Pentadbiran adalah pada 31 Mac, diikuti dokumen Kriteria Undang-Undang (15 April), Kriteria Sukan (31 Mei), Kriteria Infrastruktur (15 Jun), Kriteria Perniagaan (30 Jun) dan Kriteria Kewangan pada 30 Julai depan.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengingatkan kesemua pasukan supaya menyerahkan dokumen yang diperlukan mengikut susunan kriteria dan tarikh akhir ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Jika ada sebarang kekeliruan atau pertanyaan, pegawai pelesenan kelab boleh menghubungi secara terus dengan Unit Pelesenan Kelab MFL,” katanya.