Vaksin Covid-19: Selangor akan berunding dengan syarikat pengeluar

Rundingan secara terus dengan pengeluar vaksin-19 merupakan inisiatif kerajaan Selangor untuk melindungi komuniti dan sektor ekonomi di itu.
Rundingan secara terus dengan pengeluar vaksin-19 merupakan inisiatif kerajaan Selangor untuk melindungi komuniti dan sektor ekonomi di itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan berunding terus dengan syarikat pengeluar vaksin bagi mendapatkan bekalan untuk rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, buat masa ini perkara itu masih di peringkat perbincangan dan perkembangan lanjut berhubung pemilihan syarikat pengeluar vaksin itu akan dimaklumkan selepas ini.

Beliau berkata, langkah bagi mendapatkan bekalan vaksin itu merupakan usaha kerajaan negeri bagi melindungi komuniti dan sektor ekonomi di Selangor.

"Kita akan berunding dengan kerajaan Persekutuan dan berbincang dengan syarikat pengeluar bagi mendapatkan bekalan vaksin ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Cek Dana Bantuan Bakul Makanan Selangor yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada Khamis.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin pada minggu hadapan bagi membincangkan mengenai bekalan dan pengagihan vaksin di Selangor.

Menurut beliau, perbincangan itu juga bertujuan membolehkan kerajaan negeri mendapatkan kepastian berhubung jumlah bekalan vaksin yang diterima daripada kerajaan Persekutuan.

"Sudah tentu kita juga akan memberi fokus kepada kumpulan sasar yang dikehendaki bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dibentang kerajaan Persekutuan berjalan lancar," katanya.

Tambah beliau, menerusi pertemuan bersama Khairy sebelum ini, beberapa keputusan mikro telah dicapai namun perkara itu akan diperhalusi lagi selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan dilapor akan memulakan fasa pertama pada 26 Februari depan dengan 500,000 petugas barisan hadapan manakala fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya (OKU).