Berjuta-juta penduduk Texas masih bergelap

Beberapa buah lori bergerak di sebuah jalan raya ketika cuaca bersalji melanda Austin, Texas pada 15 Februari lalu. - Foto AFP
Beberapa buah lori bergerak di sebuah jalan raya ketika cuaca bersalji melanda Austin, Texas pada 15 Februari lalu. - Foto AFP
A
A
A

HOUSTON - Bekalan elektrik masih terputus di Texas pada Rabu sehingga menjejaskan berjuta-juta penduduk, manakala sebahagian daripada mereka tidak dapat memperoleh bekalan air ketika cuaca sejuk melanda di bahagian tenggara Amerika Syarikat (AS).

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) pula mengeluarkan amaran ribut musim sejuk dari negeri Texas sehingga ke Maryland di pantai timur AS.

Menurut NWS, ribut itu akan membawa ais, hujan beku, salji tebal ke beberapa kawasan di Texas, Louisiana, Arkansas dan Mississippi ketika ia bergerak ke bahagian timur laut menyebabkan bekalan tenaga elektrik terputus, pokok tumbang dan mengakibatkan pemanduan kenderaan menjadi bahaya.

Presiden AS, Joe Biden terpaksa menangguhkan satu lawatan ke lokasi pengeluaran vaksin untuk Covid-19 iaitu Pfizer di Kalamazoo, Michigan ke hari Jumaat berikutan cuaca yang buruk.

Lebih 30 kematian yang mempunyai kaitan dengan ribut dilaporkan oleh media di AS sejak cuaca sejuk pada minggu lalu.

Kebanyakan kematian itu adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

Ratusan ribu penduduk di bandar Houston, Texas turut menghadapi masalah bekalan elektrik terputus dan tekanan air yang rendah.

"Tekanan air amat rendah. Tolong jangan gunakan air bagi mengelakkan paip pecah (akibat air di dalam saluran paip beku)," kata Datuk Bandar Houston, Sylvester Turner seperti dilaporkan AFP.

Artikel Berkaitan:

Beberapa bandar di Texas menasihatkan penduduk supaya memasak air sebelum minum atau ketika mahu menggunakannya untuk tujuan memasak.

Seorang penduduk, David Hernandez, 38, terpaksa bermalam di sebuah gereja di Houston bersama sejumlah orang lagi setelah keretanya terperangkap dalam cuaca sejuk.

"Kereta saya terperangkap dan saya cuba untuk tidur dalam kereta tetapi ia terlalu sejuk," katanya. - Agensi