Kerja pembinaan EKVE punca Sungai Klang keruh

Air sungai keruh dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan EKVE ketika tinjauan Bernama di Hutan Lipur Ampang hari ini. - Foto Bernama
Air sungai keruh dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan EKVE ketika tinjauan Bernama di Hutan Lipur Ampang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerja-kerja pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dikenal pasti sebagai punca air keruh di Sungai Klang sekitar kawasan ibu kota, termasuk projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur (JPS WPKL), Ir S Ratna Rajah berkata, hasil siasatan pihaknya pada 16 Februari mendapati, air keruh mula mengalir dari Sungai Ampang di Hutan Lipur Ampang, Selangor berhampiran ‘Intake’ Loji Rawatan Air Ampang sebelum mengalir masuk ke Sungai Klang, disebabkan pembukaan tanah yang tidak terkawal.

“Pihak kami mendapati terdapat kesan pengaliran kelodak dalam sungai, yang datang dari tapak projek EKVE di Hutan Lipur Ampang, Selangor akibat kerja tanah yang sedang rancak berlaku.

"Air sungai keruh boleh berpunca daripada sisa-sisa kelodak tanah yang masuk ke sungai, yang berlaku disebabkan pihak kontraktor gagal melaksanakan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) atau amalan ESCP yang tidak ketat, di tapak projek yang sedang giat menjalankan kerja-kerja tanah seperti pembukaan tanah, penambakan atau pemotongan cerun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sebarang pembangunan perlu mematuhi ESCP, yang mana pemaju perlu memastikan tiada kelodak atau hakisan mengalir keluar daripada tapak projek.

“Pemaju juga wajib mengemukakan ESCP untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum memulakan kerja,” katanya.

Menjelas lanjut, Ratna Rajah berkata, jika ESCP tidak dilaksanakan semasa fasa pembinaan, situasi air keruh akan bertambah parah disebabkan air larian hujan yang mengandungi hakisan tanah memasuki Sungai Ampang.

“Sungai Ampang ini akan bertemu dengan Sungai Klang di Kampung Berembang atau lebih tepat lagi di Pusat Kawalan SMART.

Artikel Berkaitan:

“Jadi dari situ, (aliran air) masuk ke Sungai Klang dan mengalir terus ke pusat bandar iaitu di Masjid Jamek sampailah sehingga ke Brickfields dan menghala ke selatan Kuala Lumpur, seterusnya ke hilir negeri Selangor sehingga ke laut di Pelabuhan Klang,” katanya.

Ratna Rajah berkata, susulan itu, JPS WPKL akan melaporkan perkara tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar dan PBT untuk tindakan lanjut, termasuk penguatkuasaan.

Tinjauan Bernama ke tapak pembinaan berkenaan mendapati, kerja-kerja pembukaan tanah sedang rancak dijalankan di pinggir sungai di situ.

Air sungai juga didapati keruh akibat hakisan tanah yang masuk ke sungai secara langsung. - Bernama