Pemuda Pas bantah pembukaan kembali industri perjudian

Hanafi
Hanafi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Negeri Selangor membantah pembukaan kembali industri perjudian di negara ini ketika semua pihak bergelut menangani wabak Covid-19.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli mendakwa, industri perjudian sama ada berlesen atau tidak tetap membawa kemudaratan kepada ekonomi, kekeluargaan, sosial dan individu.

Menurutnya, industri itu boleh mengakibatkan kes penipuan, rasuah dan masalah rumah tangga.

“Ia memberikan impak yang sangat besar kepada sektor kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Hanafi berkata, Pas tidak dapat menerima alasan pembukaan industri perjudian bagi menggerakkan ekonomi dan kononnya mencipta peluang pekerjaan kepada pihak terlibat.

Katanya, jika alasannya demi kepentingan ekonomi, kerajaan wajar memberi tumpuan kepada sektor ekonomi gig untuk membantu lebih banyak golongan muda khususnya yang sedang menerokai sektor tersebut.

"Di saat ada rakyat yang bergelut mencari pendapatan, pembukaan industri perjudian dilihat menjadi perangkap yang akhirnya menjerut leher rakyat dengan kesan negatif yang bakal terjadi.

“Pemuda Pas Selangor tetap menolak dan membantah sekeras-kerasnya apa jua alasan bagi membuka kembali industri perjudian.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana ia hanya akan menguntungkan pemilik industri perjudian selain kesan negatif susulan termasuk isu integriti membabitkan rasuah serta penyusupan wang secara besar-besaran oleh entiti yang terlibat langsung dengan industri atas alasan keizinan dan lesen dimiliki,” katanya.

Daripada perspektif Islam sendiri katanya, judi merupakan pengharaman muktamad dan amat mendukacitakan jika perkara terbabit dibiarkan begitu sahaja.

Terdahulu, media melaporkan syarikat pengendali kasino serta syarikat nombor ramalan mengumumkan mereka kembali operasi selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Pengumuman itu dibuat melalui media sosial serta laman sesawang masing-masing.