X

Kindly register in order to view this article
!

PM baharu Itali menang undi percaya Senat

DRAGHI
A
A

ROME - Perdana Menteri Itali yang baru dilantik, Mario Draghi memenangi undi percaya di Senat pada Rabu malam, lapor Agensi Berita Xinhua.

Kerajaan pimpinan Draghi itu memperoleh sokongan majoriti 262-40 dengan dua berkecuali.

Dalam ucapan selepas undian, Draghi menggariskan hala tuju program kerajaannya.

"Tugas utama yang perlu kita penuhi adalah memerangi pandemik dengan apa sahaja cara yang kita mampu. Virus ini adalah musuh semua," kata Draghi.

Beliau berkata vaksinasi Covid-19 mesti dilaksanakan "di semua kemudahan, sama ada awam atau swasta," dengan bantuan tentera, Jabatan Perlindungan Awam dan sukarelawan.

Sebagai sebahagian daripada kepemimpinan G20 tahun ini, Itali akan mengalakkan "pertumbuhan hijau dan lestari untuk semua" sebagai usaha bangkit kembali daripada pandemik, kata Draghi.

Negara juga akan menumpukan kepada kelestarian dan peralihan kepada ekonomi hijau menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (COP26), tambahnya.

Perdana Menteri meminta dasar monetari dan fiskal yang lebih luas untuk mendorong peralihan ke ekonomi hijau dan mampan.

Menurutnya, melindungi alam sekitar adalah asas kepada Rancangan Pemulihan dan Ketahanan Itali untuk melaburkan dana Kesatuan Eropah dalam objektif strategik seperti peralihan ke mobiliti elektrik dan tenaga boleh diperbaharui, kata Draghi.

“Kita akan memperoleh sekitar 210 bilion euro (sekitar US$253 bilion) dalam jangka masa enam tahun," kata perdana menteri.

Draghi juga berikrar akan memberikan pendidikan, rawatan kesihatan, keadilan, tenaga kerja dan pembaharuan cukai, serta langkah-langkah kebajikan untuk kumpulan yang terjejas ekonominya akibat pandemik itu.

Beliau yang mengangkat sumpah pada hujung minggu lalu akan berhadapan undi percaya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Di bawah undang-undang Itali, kerajaan baharu mesti memperoleh undi percaya di kedua-dua dewan parlimen sebelum memulakan tugas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!