Proses kelulusan i-Sinar dipermudahkan: Tengku Zafrul

i-Sinar
i-Sinar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mempermudahkan proses kelulusan pengeluaran i-Sinar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah memohon atau permohonan sedang diproses.

“Ini akan melibatkan perubahan kepada sistem KWSP yang akan mengambil sedikit masa.

“Masa juga diperlukan untuk membekukan transaksi buat sementara waktu bagi membolehkan sistem KWSP untuk mengkreditkan dividen bagi tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada hujung Februari ini,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-41, pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa peka kepada kelangsungan hidup bagi golongan rentan dan mereka yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Pengumuman pada 14 Februari mengenai pelanjutan tarikh tutup bagi pendaftaran baharu dan kemaskini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

“Tempoh yang sebelum ini dibuka dari 15 Januari 2021 sehingga 15 Februari 2021 telah dilanjutkan sehingga 25 Februari 2021.

“Ini bagi memastikan BPR akan diterima oleh mereka yang benar-benar layak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, langkah-langkah tersebut diharap dapat membantu rakyat mengharungi cabaran semasa akibat pandemik.

Kerajaan pada 11 Februari lalu mengumumkan mengenai pemansuhan syarat i-Sinar KWSP bagi mempermudahkan ahli membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1.

Pemansuhan syarat i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki sedia ada.