X

Kindly register in order to view this article
!

Borang persetujuan suntikan vaksin tular bukan borang muktamad

KKM memaklumkan borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang tular di laman sosial bukan borang persetujuan yang muktamad.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang tular di laman sosial bukan borang persetujuan yang muktamad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang muktamad akan diedarkan kepada bakal penerima vaksin dalam tempoh terdekat bermula dengan penerima vaksin bagi fasa pertama.

“Untuk makluman, pemberian suntikan vaksin Covid-19 bertujuan memberi perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 serta mengurangkan kesan mendapat penyakit tersebut.

“Memandangkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 adalah secara sukarela, maka borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 adalah dokumen yang digunakan untuk diberi kepada penerima vaksin bagi mereka menyatakan persetujuan penerimaan vaksin dengan rela hati,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, borang persetujuan juga digunakan di negara lain yang melaksanakan Program Imunisasi Covid-19.

“Penerimaan vaksin ini adalah secara ‘opt-in’ dan penerima vaksin yang bersetuju perlu menandatangani borang ini.

“Kandungan di dalam borang persetujuan ini memastikan penerima vaksin memahami sepenuhnya apa yang telah dibaca atau diterangkan oleh anggota kesihatan mengenai manfaat dan risiko vaksin,” katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham menggesa supaya masyarakat mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat dan boleh menimbulkan keresahan orang ramai.

“Semua vaksin yang akan memasuki Malaysia akan dinilai terlebih dahulu dalam konteks kualiti, keberkesanan dan keselamatannya oleh pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Selain itu, melalui pelaporan yang diperoleh dari negara-negara yang telah melaksanakan pemberian vaksin Covid-19, vaksin ini adalah selamat digunakan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!