Rosmah tertekan, emosi terganggu

Datin Seri Rosmah Mansor (kanan) semasa tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi pagi tadi. - Foto Bernama
Datin Seri Rosmah Mansor (kanan) semasa tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi pagi tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Emosi anak guam saya terganggu," itu antara reaksi peguam yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Jagjit Singh selepas anak guamnya diminta membela diri pada Khamis.

Jagjit berkata, anak guamnya yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tertekan selain emosinya agak terganggu dengan keputusan mahkamah hari ini.

"Bagaimanapun, beliau akan terus berjuang kes ini di mahkamah namun ketika ini beliau tidak bercakap, emosi terganggu dan agak kecewa.

"Kami juga memujuknya dan terus memberikan semangat untuk menghadapi kes ini," katanya Jagjit kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi.

Rosmah, 70, memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi selepas diperintah membela diri di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar membabitkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak, 2016 lalu.

Rosmah membuat pilihan itu selepas diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan, kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan atau ketiga memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya ketika pemeriksaan balas.

Datuk Jagjit Singh
Datuk Jagjit Singh

Jagjit yang mewakili Rosmah berkata, seramai lima atau enam saksi pembelaan termasuk Rosmah dan Najib, akan dipanggil untuk kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak termasuk 10 saksi yang ditawarkan oleh pasukan pendakwaan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan Rosmah membela diri daripada tiga pertuduhan berkenaan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, mahkamah telah memberi penilaian secara maksimum mengenai perkara tersebut.

“Pendakwaan juga menambah bukti keterangan yang boleh dipercayai untuk membuktikan elemen di bawah pertuduhan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bagi kes ini berlangsung selama sembilan hari bermula 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun, dan disambung pada 12, 15 Julai 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah pilih beri keterangan dari kandang saksi