'Sakitnya hanya ALLAH tahu’

Noh melihat keadaan Abu Taib yang mengalami kecederaan akibat ditimpa dinding yang runtuh akibat ribut.
Noh melihat keadaan Abu Taib yang mengalami kecederaan akibat ditimpa dinding yang runtuh akibat ribut.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang warga emas cedera dihempap dinding rumahnya yang runtuh akibat ribut di Blok EQWS Sawah Sempadan, di sini kelmarin.

Abu Taib Daud, 78, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dia sedang berehat di ruang tamu, sebelum dikejutkan dengan bunyi guruh yang kuat.

"Sakit hanya ALLAH saja yang tahu bila kena hempap dinding yang rebah selepas angin kuat," katanya. ketika ditemui ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku dalam sekelip mata dan rumahnya mengalami kerosakan teruk.

"Masa kejadian pakcik tak larat nak bangun dan sekelip mata angin kuat dengan hujan...tiba-tiba bumbung rumah hilang sekelip mata dan rebah dinding rumah.

"Pakcik tak sempat nak elak dan terkena bahu kiri, kepala dan tangan...anak-anak yang tolong angkat dinding dan habis semua lebam. Nasib baiklah masih bernafas lagi," katanya.

Abu Taib yang juga bekas ketua kampung berkata, susulan kejadian itu, rumahnya rosak teruk dan dia kini menumpang rumah adiknya buat sementara waktu.

Bencana itu turut menjejaskan lebih 200 rumah lain di kawasan Dun Permatang dan Sungai Burong.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Paisam Sardi, 58, berkata, dia tidak boleh menggambarkan perasaan takut ketika angin kuat menerbangkan kesemua bumbung rumahnya.

"Masa tu lepas solat Asar, nak rehat-rehat tapi masa tu memang hujan lebat dan angin kuat. Tapi tak sangka pula sampai bumbung terbang habis semua basah.

"Sebenarnya baru lepas kenduri nasib baiklah semua dah selesai tapi nak hadap rumah macam memang tak tahu nak cakap apa. Harap-harap jangan hujan lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian ribut terburuk

Seorang lagi mangsa yang juga ibu tunggal, Normala Mokhtar, 49, menyifatkan ribut kali ini adalah terburuk berbanding musibah sama Aidilfitri 2017.

"Memang takut, perasaan tu tak boleh nak cakap. Masa tu, nampak kabus tebal dengan angin kuat. Pokok kelapa pun goyang macam nak tercabut memang menakutkan.

"Masa tu saya bertiga dalam rumah dengan anak saudara dan anak takut nak keluar. Bila anak saudara azan, terus bumbung diterbangkan angin jatuh ke sawah sebelah.

"Bumbung ni tak dapat baiki lagi sebab sumber pendapatan akak pun hasil padi saja... harap juga bantuan wakil rakyat dan kerajaan bantu ringankan beban," katanya.

Ashbihani Salimin, 68, turut tidak menyangka bumbung dapurnya tercabut sekelip mata selepas kawasan rumahnya di Blok T Sawah Sempadan dilanda ribut.

"Memang masa kejadian tu tengah hujan tapi tak sangka angin datang selang seli dengan hujan. Lepas tu bunyi guruh kuat sampaikan kami semua berkumpul ramai-ramai dalam rumah.

"Kami berkumpul dekat dapur sebab ingatkan boleh selamat tapi rupanya bumbung dapur hilang sekelip mata dan nampak angin berpusing depan mata," katanya.Perlu dibantu segera

Sementara itu Noh berkata, bantuan terhadap mangsa ribut perlu disegerakan.

"Lebih kurang 200 buah kena teruk. Kalau dulu BN masih kerajaan, saya terus panggil tukang rumah siapkan bumbung.

"Tapi sekarang ni kerajaan baharu, jangan banyak sangat birokrasi sebab kerosakan rumah paling teruk pun dalam RM20,000. Boleh bantu terus tanpa buka tender atau sebagainya," katanya.

Beliau berkata, sumbangan kilat diberikan kepada mangsa ribut mengikut kategori kerosakan dilaporkan terus kepada Pejabat Ahli Parlimen Tanjong Karang.

"Saya berharap kerajaan negeri dapat bantu segera mangsa ribut ni sebab kerosakan sepatutnya dibaiki segera dan bukannya kena tunggu lama ikut prosedur," katanya.

Pegawai Khas ADUN Sungai Burong, Maruwan Ahmad pula berkata, setakat ini 11 rumah dikenal pasti berdepan musibah ribut di dalam kawasan Dun Sungai Burong.

"Dari malam tadi saya dimaklumkan mengenai musibah ini dan kalau dulu, ketua kampung yang diarahkan untuk cari mangsa ribut dan buat laporan secara berkelompok. Tapi sekarang mangsa ribut kena buat sendiri.

"Kalau dulu BN boleh bantu baiki terus rumah, mungkin PH boleh buat lebih baik kan? Lagipun kerajaan negeri banyak simpanan rizab, boleh bantu mangsa ribut ni dengan mudah tanpa tunggu lama.

"Sebab kebanyakan mangsa ribut ni warga emas dan ibu tunggal, kerajaan negeri kena bantu segerakan bantuan. Pihak ADUN Sungai Burong juga akan panjangkan permohonan penduduk kepada agensi kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

ADUN Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima 100 laporan setakat ini namun jumlah itu belum secara keseluruhan.

Menurutnya, tiada penempatan sementara dibuka kerana kebanyakan mangsa bermalam di rumah sendiri atau bermalam di rumah saudara.