UPKO mahu darurat ditamatkan, cadang laksana gencatan politik

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan gencatan politik antara pihak kerajaan dan pembangkang melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata demikian melalui surat terbuka pimpinan UPKO kepada Muhyiddin yang dihantar pada Rabu supaya deklarasi darurat ditamatkan.

Menerusi surat terbuka itu, Madius berkata, pimpinan UPKO memahami kesukaran yang dihadapi oleh Muhyiddin dan pada masa sama ingin memberi keyakinan bahawa wujudnya penyelesaian yang demokratik dan dapat bertahan.

"Iaitu gencatan senjata politik antara pihak kerajaan dan pembangkang melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang akan membolehkan kerajaan untuk memerintah tanpa kebimbangan akan digulingkan dan pembangkang untuk memberikan semakan perundangan dan input dasar melalui proses pembuatan dasar yang inklusif dan matang.

"Sekiranya dipersetujui, gencatan ini boleh dilaksana sehingga 16 Jun 2023, iaitu tarikh Parlimen akan bubar secara automatik, supaya Tan Sri (Muhyiddin) dapat memberi tumpuan tenaga terhadap pengurusan pandemik dan ekonomi sepanjang penggal Parlimen ke-14," katanya ketika membaca surat terbuka itu menerusi sidang media secara maya pada Khamis.

Madius yang juga ahli Parlimen Tuaran turut berkata, UPKO senada dengan hasrat semua rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan politik dalam usaha memerangi wabak dan kemelesetan ekonomi.

"Namun, ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama antara parti yang dimudahcarakan oleh Parlimen yang berfungsi dan berkuasa.

"Menggantung kerajaan berparlimen seperti sekarang di bawah darurat ini atau membentuk 'Kerajaan Perpaduan' yang tanpa pembangkang' hanya akan mendorong kepada salah urus, rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Madius lagi, kepentingan peribadi Muhyiddin terjaga dengan baik jika meninggalkan legasi sebagai seorang Perdana Menteri yang berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut wabak Covid-19.

"Tidak perlulah Tan Sri diingati sebagai Perdana Menteri yang lemah dan sentiasa bimbang akan riwayat politik sendiri sampai tidak dapat menumpukan perhatian untuk menyelamatkan nyawa dan meningkatka kehidupan rakyatnya.

"Sebagai sebuah parti bertanggungjawab yang menghasratkan politik berasaskan dasar, UPKO akan menjadi yang pertama untuk menyokong Tan Sri dalam mengorak langkah berani untuk mencapai perdamaian antara parti-parti demi kestabilan politik yang sebenarnya," katanya.

Madius berkata, darurat itu harus ditamatkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 juga tamat pada Khamis.

"UPKO menyambut baik pengakhiran PKP 2.0 di semua negeri kecuali Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

"UPKO ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa perubahan positif ini juga menghapuskan sebarang justifikasi untuk meneruskan deklarasi darurat," katanya.

Sehubungan itu, UPKO menyeru Muhyiddin untuk mencari penyelesaian politik antara parti bagi menggantikan darurat sebagai asas kepada kelangsungan kerajaan pimpinannya.

"Sekiranya darurat masih diteruskan setelah berakhirnya PKP 2.0, ia perlu diberikan satu justifikasi berdasarkan bukti oleh Jawatankuasa Khas Bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang dilantik oleh kerajaan pada 9 Februari.

"UPKO menggesa Jawatankuasa Khas Bebas untuk segera bertemu dan menilai keperluan baharu untuk darurat dalam memenuhi tugas berkanun iaitu 'untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19.

"UPKO menegaskan bahawa sebarang bentuk usaha mahu pun pengaruh tidak wajar yang cuba menghalang dan mengelakkan jawatankuasa itu daripada berjumpa adalah melanggar ordinan dan juga bercanggah dengan perlembagaan.

"Ini juga merendahkan martabat Yang di-Pertuan Agong jika institusi diraja yang seharusnya berkecuali dan berada di atas politik terus dikaitkan dengan keputusan yang berunsurkan politik dan dipertikaikan," katanya.

Surat terbuka itu ditandatangani oleh beliau sendiri sebagai Presiden UPKO serta Senator Sabah yang juga Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Mojuntin dan Naib Presiden UPKO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.