Potensi besar industri vape

SYAMIL HANAFIAH
SYAMIL HANAFIAH
A
A
A

KUALA LUMPUR – Industri vape semakin berkembang di negara ini apabila ramai usahawan tempatan khususnya Bumiputera melabur dalam industri ini sejak sedekad yang lalu sehingga mewujudkan satu ekosistem perniagaan yang teratur.

Timbalan Setiausaha Agung Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Syamil Hanafiah berkata, selain melahirkan lebih ramai usahawan, industri ini akan meningkatkan pelaburan domestik dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) sekiranya peraturan yang sewajarnya diperkenalkan.

Justeru katanya, MEVTA menyokong cadangan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) supaya kerajaan mengambil langkah segera membuat peraturan mengawal selia industri vape di Malaysia dan merealisasikan potensi industri yang semakin berkembang ini.

MEVTA yang mewakili lebih daripada 2,000 peniaga dalam industri vape Malaysia turut mengesahkan industri ini berpotensi besar dan telah berkembang menjadi satu industri yang matang daripada pengilang, pengimport serta pekedai yang majoritinya diusahakan golongan bumiputera.

“Ini bukan sahaja dapat menjana aktiviti ekonomi untuk usahawan dan peniaga tempatan, malahan dapat mencipta peluang pekerjaan terutamanya untuk golongan bumiputera meningkatkan ekonomi mereka.

"MEVTA berpendapat industri ini akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya dalam bidang pembuatan, pemasaran, pengedaran dan penjualan apabila peraturan yang sewajarnya diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kajian DPVM yang diterbitkan baru-baru ini melaporkan bahawa industri vape kini bernilai RM2.27 billion melibatkan 3,300 perniagaan yang mana kebanyakannya diusahakan oleh usahawan Bumiputera sehingga mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam industri vape.

Kajian tersebut turut menunjukkan terdapat 1.12 juta pengguna vape di Malaysia berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Mengulas Kajian Industri Vape Malaysia yang diterbitkan oleh DPVM itu, Syamil berkata, kajian tersebut mengesahkan bahawa terdapat banyak pengguna vape di Malaysia dan industri yang besar telah diwujudkan di negara ini.

"Ini adalah suatu fakta yang tidak boleh diketepikan,” katanya.

Malah katanya, MEVTA percaya bahawa saiz industri vape adalah lebih besar kerana ramai pemain dalam industri ini yang merangkumi pekedai sehingga pengilang memilih untuk tidak membuat kaedah pemasaran secara terbuka.

"Ini adalah kerana KKM masih tidak membuat pengiktirafan yang sewajarnya ke atas produk vape walaupun semakin ramai perokok berhenti merokok dan beralih kepada vape kerana telah terbukti di peringkat antarabangsa bahawa vape adalah kurang mudarat berbanding merokok dan efektif untuk membantu perokok berhenti merokok," katanya.

Beliau berkata, agensi kesihatan UK, Public Health England turut merumuskan bahawa vape adalah 95 peratus kurang mudarat berbanding merokok dan pendirian tersebut disokong pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan awam antarabangsa dan agensi kesihatan negara New Zealand dan Kanada.

"Perkara ini telah disampaikan pihak MEVTA kepada KKM sejak beberapa tahun yang lalu. Namun pihak kementerian masih tegas tidak membuat pengiktirafan yang sewajarnya ke atas produk vape,” kata Syamil.

Katanya, MEVTA juga berpendapat percukaian eksais yang diperkenalkan ke atas produk vape perlu diperluaskan merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin dan peraturan diperkenalkan untuk membenarkan nikotin digunakan dalam cecair vape.

“Buat masa ini, hasil cukai daripada industri vape adalah sangat kecil kerana cukai hanya dikenakan kepada produk yang tidak bernikotin. Mengikut anggaran MEVTA, tidak sampai 1 peratus produk vape yang tidak mengandungi nikotin terjual di pasaran pada masa ini," katanya.

Oleh itu, katanya, peraturan perlu diperkenalkan dengan segera termasuk peraturan yang membenarkan nikotin digunakan dalam cecair vape seperti yang dilihat di negara maju.

“Kami memohon agar kerajaan mengambil kira aspek-aspek ini untuk membolehkan industri vape di Malaysia merealisasikan potensinya,” katanya.