Pemandu mabuk didakwa sebabkan kematian anggota polis

Tertuduh dibawa keluar dari pekarangan mahkamah.
Tertuduh dibawa keluar dari pekarangan mahkamah.
A
A
A

KLUANG - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian seorang anggota polis di Kilometer 6 Jalan Kluang-Teck Wah Hing pada 12 Februari lalu.

T Yogarajah, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memandu kereta pada jam 10.57 malam dengan kadar alkohol dalam nafas melebihi had yang ditetapkan dan menyebabkan kematian Lans Koperal Bradford Bernard, 28.

Tertuduh yang memandu dari Kluang menghala ke Renggam telah memasuki laluan motosikal lalu menyebabkan kemalangan dan kematian mangsa.

Yogarajah didakwa melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nur Zahida Muhammad Ruzi yang tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Arun kemudian memberikan peluang kepada tertuduh untuk merayu jaminan namun tertuduh tidak mahu kerana tidak mampu membayarnya.

Artikel Berkaitan:

Arun menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula dan tertuduh dibenarkan melantik peguam atau mendapatkan khidmat Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Arun turut memerintahkan lesen memandu suspek digantung sehingga perbicaraan selesai.

Sinar Harian pada 12 Februari lalu melaporkan, Bradford maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk ketika baru selesai tugasan di Penjara Simpang Renggam dan dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Bradford yang baru berkahwin bulan lalu, berasal dari Penampang, Sabah dan sudah empat tahun bertugas di daerah ini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.