Jurulatih perunding insurans hadapi 25 pertuduhan wang haram

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang jurulatih perunding insurans dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini pada Khamis atas 25 pertuduhan berkaitan aktiviti wang haram berjumlah RM1.8 juta pada 2018.

Zuriati Mohamed Yusoff, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, Zuriati sebagai bekas pengarah syarikat Millionaire Synergy Sdn Bhd telah menerima wang sejumlah RM1,849,719.75 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dalam empat pertuduhan seterusnya, Zuriati didakwa menggunakan wang antara RM20,000 hingga RM90,000 melalui empat cek berbeza sebagai bayaran kepada diri sendiri dan seorang lagi individu yang lain.

Bagi 20 pertuduhan berikutnya, dia didakwa memindahkan wang berjumlah RM10,000 hingga RM435,080 kepada diri sendiri, sebuah syarikat dan seramai 17 individu berasingan.

Kesemua kesalahan itu yang didakwa dilakukan antara 21 Mei 2018 hingga 6 Julai 2018 di sebuah cawangan bank tempatan beralamat di Kota Damansara, Petaling Jaya, dekat sini dituduh menurut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan hingga 15 tahun serta boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli menawarkan ikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan selepas mengambil kira nilai transaksi yang terlibat, manakala peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin yang berpatutan memandangkan Zuriati diisytiharkan muflis sejak dua tahun lalu selain perlu menanggung dua anak serta bapa dan adik kandung yang tinggal bersamanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Azmir berkata, anak guamnya juga yang kini bekerja sebagai jurulatih perunding insurans hanya memperoleh pendapatan bulanan antara RM1,000 dan RM1,300.

Hakim menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi membolehkan kes tersebut dibicarakan bersama satu lagi kes melibatkan tertuduh di sana pada 14 Mac ini. -Bernama