Jadual padat EPL satu cabaran indah

Biarpun beraksi tanpa Gundogan, City masih mampu melakar kemenangan berdepan Everton.
Biarpun beraksi tanpa Gundogan, City masih mampu melakar kemenangan berdepan Everton.
A
A
A

PENGENDALI Manchester City Pep Guardiola berharap agar kesebelasan pemainnya dapat menjadikan jadual padat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ini sebagai satu cabaran yang ‘indah’ untuk diharungi.

Menurutnya, perkara berkenaan dilihat penting dalam usaha memastikan kesebelasan The Citizens itu tetap bersemangat untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka sehingga ke penghujung musim, sekali gus muncul juara kali ini.

Bagaimanapun katanya, jika City mahu merealisasikan hasrat untuk muncul juara EPL kali ini, mereka perlu memiliki kesemua kesebelasan pemain daripada skuad berkenaan.

“Sekiranya mahu memenangi piala, kita memerlukan keseluruhan skuad, untuk melakukannya dan secara kebetulan, kita ada jadual yang padat dan menjanjikan hujung minggu yang panjang.

“Cuma apa yang menggembirakan saya ketika ini adalah solidariti yang ditunjukkan pemain termasuk melibatkan pemain-pemain yang tidak beraksi seperti Benjamin Menday, John Stones dan Oleksandr Zinchenko.

“Kita akan kembali lagi ke sini dalam tempoh beberapa minggu untuk aksi Piala FA dan kita telah melihat kesukaran yang bakal kita hadapi,” katanya.

Beraksi tanpa pemain tonggak Ilkay Gundogan pada perlawanan berkenaan, City dilihat masih mampu memenangi perlawanan itu menerusi jaringan Phil Foden pada minit ke-32, Riyad Mahrez (63) dan Bernardo Silva (77) manakala Everton merapatkan jurang menerusi Richarlison pada minit ke-37.

Kemenangan berkenaan menyaksikan City terus gah di puncak EPL dengan 56 mata berbanding Everton (37) pada kedudukan ketujuh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Guardiola menegaskan kesebelasan pemainnya berhak bergembira meraikan kemenangan berkenaan, tetapi mulai esok (hari ini), mereka perlu kembali berlatih menjelang aksi berdepan Arsenal di Emirates, 22 Februari ini.

“Bagi saya, adalah lebih baik, anda tidak melihat jadual perlawanan kerana ia boleh menjadikan anda dilanda kemurungan.

“Malam ini (semalam), kita bergembira meraikan kemenangan, tetapi esok (hari ini) kita perlu kembali berlatih dan memikirkan mengenai Arsenal,” katanya.