Negeri Sembilan tiada masalah sedia tanah rizab

AMINUDDIN
AMINUDDIN
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyediakan rizab tanah sebanyak 101 hektar bagi tujuan pembinaan taman awam, seperti mana diminta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rizab sedia ada bagi tempat riadah dan rekreasi di negeri ini, sudah berkeluasan melebihi 11,611 hektar, bagi kawasan Seremban, Nilai dan Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu.

“Jika dikira dengan daerah lain termasuk Bahau, Port Dickson, Kuala Pilah, sudah pasti kita mempunyai lebih daripada apa yang diminta, jadi untuk merizabkan 101 hektar untuk buat taman awam itu, kita tidak ada masalah.

“Bagaimanapun, kita memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar sama-sama menyalurkan bantuan dari segi kewangan untuk tujuan penyelenggaraan taman awam itu nanti, kita tidak ada masalah untuk sediakan tempat, tetapi bantuan juga perlu disalurkan kepada kerajaan negeri bagi kita sama-sama menjaga kawasan itu nanti,” katanya.

Jelasnya, dalam projek MVV 2.0 itu juga, sebanyak 138.8 hektar tanah diperuntukkan bagi tujuan Green Park, malah 15 peratus daripada jumlah itu sudahpun diluluskan.

Kelmarin, Kementerian Wilayah Persekutuan mempergiatkan usaha mewartakan taman awam di seluruh negara yang merangkumi sekurang-kurangnya keluasan 101 hektar di setiap negeri.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, usaha itu dilakukan melalui Jabatan Landskap Negara di bawah KWP bagi mengekalkan dan melindungi taman itu agar boleh dikunjungi warga tempatan.

Katanya, usaha ini termasuk mewartakan Taman Awam Berskala Besar iaitu Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 149 hektar di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: