Presiden AS akhirnya hubungi PM Israel

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (kiri) dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Twitter/PTI
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (kiri) dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Twitter/PTI
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Rabu bercakap buat kali pertama melalui telefon, lapor agensi berita AFP.

Netanyahu merupakan salah seorang daripada pemimpin negara terakhir yang menerima panggilan telefon daripada Biden setelah beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden pada 20 Januari lalu.

Biden lewat menghubungi Netanyahu walaupun Israel mempunyai hubungan istimewa dengan AS.

Presiden AS itu kemudiannya memberitahu para pemberita bahawa panggilan telefon itu merupakan satu perbualan yang baik.

Rumah Putih menyatakan bahawa Biden menekankan sokongannya ke atas perjanjian-perjanjian bagi menormalkan hubungan antara Israel dengan negara-negara Liga Arab yang mana bekas Presiden AS, Donald Trump telah menjadi 'orang tengah' bagi merealisasikannya.

Dalam perbualan itu, Presiden AS tersebut menegaskan komitmennya terhadap keselamatan Israel dan menyatakan hasrat untuk memperkukuhkan lagi semua aspek perkongsian antara negara Yahudi berkenaan dengan AS termasuk kerjasama pertahanan, kata Rumah Putih.

Menerusi satu kenyataan, penasihat media Netanyahu menyatakan perbualan itu amat mesra dan melibatkan masa selama satu jam.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua buah negara, tambah kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Presiden AS dan Perdana Menteri Israel turut berbincang mengenai masa depan perjanjian keamanan, ancaman Iran dan cabaran di rantau Asia Barat selain bersetuju untuk meneruskan dialog antara kedua-dua negara.

Menerusi panggilan telefon itu, Biden turut memberikan komen tentang cara kepimpinan Netanyahu memerangi pandemik Covid-19, kata kenyataan penasihat media Perdana Menteri Israel.

Negara Yahudi itu yang mempunyai sembilan juta penduduk pada Selasa telah menyuntik vaksin Pfizer/BioNTech kepada empat juta rakyatnya sebagai usaha membendung penularan Covid-19. - Agensi