Utamakan agenda perpaduan:Armada

KHAIRUL AMILIN
KHAIRUL AMILIN
A
A
A

KUANTAN - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong penuh amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas hasrat dan strategi memperkukuhkan Perpaduan Nasional (PN).

Exco Armada Nasional (Jalur Pribumi), Khairul Amilin Abdullah Shukor berkata, ia penting kerana perpaduan perlu ditempatkan di tangga pertama dalam kehidupan rakyat negara ini.

Menurutnya, perpaduan perlu didahului melangkaui fahaman dan kepentingan politik, status ekonomi, kaum dan sebagainya.

"Pelbagai usaha masih perlu giat dilakukan agar penerapan rasa cintakan negara mekar subur hingga ke peringkat akar umbi tanpa sebarang prejudis.

"Ia kerana realitinya masih ramai yang cuba memecah belahkan perpaduan rakyat atas kepentingan tertentu," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Khairul Amilin berkata, rakyat juga dinasihatkan supaya jangan cepat melatah dengan permainan politik murah segelintir pihak kerana jelas masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

"Belum ada harga boleh dicagar pada sebuah keamanan yang lahir daripada perpaduan dan jangan sesekali menggadaikannya demi apa jua kepentingan peribadi," ujarnya.

Tambahnya, Armada melalui Jalur Pribumi turut mengajak semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama bagi menyahut usaha Perdana Menteri itu.

Artikel Berkaitan:

"Perpaduan boleh diperkukuhkan apabila wujud kesedaran dalam naluri semua rakyat.

"Media massa dan digital juga perlu sentiasa menyuntik elemen perpaduan dalam kandungan rancangan mereka sebagai usaha memupuk elemen itu dalam kalangan rakyat," katanya.