Batik Merbok hubungkan UiTM dengan kerabat diraja Kedah

Batik Merbok dipersembahkan kepada Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Batik Merbok dipersembahkan kepada Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
A
A
A

MERBOK - Batik Merbok produk dihasilkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah bukan sahaja dipersembahkan kepada kerabat diraja, malahan ia dapat menjadi permulaan dipasarkan ke luar negara.

Rektor UiTM Kedah, Profesor Madya Dr Shaiful Annuar Khalid berkata, dengan jalinan berkenaan, diharapkan ia mampu merapatkan hubungan antara pusat pengajian tinggi awam itu dengan pihak istana sekali gus meningkatkan imej Batik Merbok.

Menurutnya, UiTM Kedah bersama delegasi telah mengadakan sesi mengadap Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff baru-baru ini untuk mempersembahkan koleksi baharu Batik Merbok.

“Kunjungan warga UiTM melakukan sembah mengadap bertujuan mempersembahkan koleksi terbaharu Batik Merbok dengan fokus rekaan berinspirasi baju tradisional kurung Kedah,” katanya.

Beliau berkata, sesi mengadap turut mempersembahkan koleksi Batik Merbok berinspirasikan Raja Puan Muda Kedah yang mana melalui pembacaan dan penelitian, Raja Puan Muda Kedah berhasrat untuk mengetengahkan rekaan baju kurung Kedah ke tahap tertinggi.

Sementara itu, Penyelaras Batik Merbok UiTM Kedah, Zaidi Yusoff berkata, selain penghasilan tekstil, Batik Merbok kini juga memfokuskan kepada penghasilan produk lain berkonsepkan batik.

“Antaranya produk cenderahati yang mampu memartabatkan Batik Merbok ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Terbaru, Education Malaysia di Indonesia telah menempah sejumlah cenderahati bermotifkan Batik Merbok untuk dijadikan buah tangan kepada tetamu kehormat.

Artikel Berkaitan: