Pemandu mabuk, kekasih rempuh sekatan jalan raya ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GOMBAK - Tindakan sepasang kekasih yang menghalang dan mengganggu tugas polis ketika menjalankan Op Bersepadu Cegah Jenayah dan Op Mabuk di Batu 15, Jalan Kuala Lumpur – Ipoh di sini membawa padah apabila kedua mereka ditahan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku apabila anggota polis bertugas menahan kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, anggota polis bertugas telah mengarahkan suspek tersebut menghentikan kenderaannya di bahu jalan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

"Apabila dihampiri, suspek tersebut terus memecut kenderaannya merempuh sekatan jalan raya (SJR) dan hampir melanggar dua anggota polis bertugas untuk melarikan diri," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, polis kemudiannya mengejar kenderaan tersebut sejauh lebih kurang satu kilometer dan akhirnya berjaya menahan kenderaan dinaiki suspek.

"Ketika proses tangkapan dijalankan, kedua suspek enggan memberi kerjasama malah bertindak merakam video dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan ke atas anggota polis yang bertugas.

"Ujian pernafasan ke atas suspek yang memandu kenderaan tersebut mendapati di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Kedua suspek telah ditahan reman selama tiga hari mulai untuk siasatan lanjut.

"Motif kejadian dipercayai suspek melarikan diri dari diperiksa di Sekatan Jalan Raya kerana di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa patuh kepada undang-undang dan memberi kerjasama kepada penjawat awam yang menjalankan tugas.

"Tindakan lari dari sekatan jalan raya adalah satu kesalahan yang serius, malah jika ada elemen cuba merempuh petugas yang membahayakan nyawa mereka, implikasinya adalah lebih berat kerana ianya boleh disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh," katanya.