Hotel jual nasi lemak pandan, bunga telang jana pendapatan

Mansor (kanan) bersama kakitangannya menunjukkan nasi lemak pandan dan bunga telang yang dijual secara pandu lalu.
Mansor (kanan) bersama kakitangannya menunjukkan nasi lemak pandan dan bunga telang yang dijual secara pandu lalu.
A
A
A

JERANTUT - Hotel Darul Makmur di sini memilih untuk menjual menu nasi lemak pandan dan bunga telang secara pandu lalu bermula 6 Februari lalu bagi menjana pendapatan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengurus hotel, Mansor Mat Isa berkata, menu tersebut dijual di kiosk yang terletak di hadapan hotel berkenaan.

Menurutnya, beliau tidak menyangka jualan nasi lemak itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Tujuan utama kita adalah untuk memperkenalkan dua menu ini kepada orang ramai kerana sebelum ini ia hanya menjadi hidangan di kafeteria hotel.

"Sekarang orang ramai boleh menikmati kedua-dua nasi lemak ini dengan harga RM2 sebungkus bermula jam 7.30 pagi hingga 11 pagi setiap hari," katanya.

Mansor (kiri) menunjukkan kiosk yang menjual nasi lemak pandan dan bunga telang secara pandu lalu kepada Nazri pada Selasa.
Mansor (kiri) menunjukkan kiosk yang menjual nasi lemak pandan dan bunga telang secara pandu lalu kepada Nazri pada Selasa.

Katanya, kini pihaknya mampu menjual lebih 100 bungkus nasi lemak setiap hari.

"Selain dijual secara pandu lalu, kami juga menyediakan perkhidmatan menghantar makanan kepada pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah memuji usaha pihak pengurusan hotel yang melakukan tindakan bijak dalam usaha menjana pendapatan selain memperkenalkan menu hotel mereka kepada orang awam.

"Kaedah ini boleh menjadi contoh kepada peniaga lain malah mereka perlu lebih kreatif untuk menarik perhatian pelanggan," katanya.