Saya sayang bangsa, kata Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Apa yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada negara sehingga hari ini adalah semata-mata kerana sayang kepada bangsa.

Beliau menegaskan perkara itu ketika ditanya apakah yang membuatkan beliau begitu komited dalam campur tangan berhubung isu negara meskipun menerima kritikan hebat daripada segenap sudut.

“(Kerana saya) sayang pada bangsa,” katanya pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalian Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Johan sebelum itu juga membangkit bahawa Ahli Parlimen Langkawi itu sepatutnya kini berehat dan meninggalkan dunia politik setelah sekian lama menyumbang kepada bangsa dan negara.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, beliau pernah ‘cuba’ berehat ketika memutuskan untuk letak jawatan pada tahun 2003, namun hasrat itu terbantut.

“Apabila saya letak jawatan, pada tahun 2003 saya pun berharap saya dapat berehat, menikmati kehidupan, berjalan sana sini.

Tetapi seminggu selepas saya letak jawatan orang datang minta tolong buat sesuatu kerana mereka berpendapat bahawa yang menjadi Perdana Menteri ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Hanya seminggu sudah nampak kelainan. Selepas itu, rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu. Saya cuba nasihat tetapi nasihat tidak berkesan. Akhirnya saya terpaksa keluar daripada parti dan menentang kerajaan. Parti yang dahulunya adalah parti saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Dr Mahathir, beliau akan tetap bersemangat dalam perjuangannya menolong negara meskipun pada usia sekarang.

“Negara ini negara saya. Orang lain juga mengaku ini adalah negara mereka tetapi saya berpendapat bahawa apa yang dilakukan akan merugikan negara khususnya berkenaan dengan rasuah,” katanya.