X

Kindly register in order to view this article
!

Nigeria berdarah angkara perbalahan etnik

Perbalahan etnik antara kaum Hausa dan Yoruba menyebabkan sebuah pasar dibakar manakala berpuluh-puluh orang terbunuh.
A
A

PERGADUHAN antara etnik yang berlaku di bandar Iabadan, negeri Oyo, selatan Nigeria pada minggu lalu menyebabkan Presiden Muhammadu Buhari yang berasal dari bahagian utara negara itu mendesak supaya semua penduduk di tanah airnya kembali bersatu.

Ketegangan etnik tersebut bermula dengan satu insiden salah faham dua lelaki di pasar Shasha, Ibadan minggu lalu yang berakhir dengan kematian salah seorang daripada mereka.

Dalam pergaduhan itu, seorang penolak pedati berketurunan etnik Hausa menikam seorang tukang kasut daripada etnik Yoruba dengan pisau.

Menurut portal Premium Times, tidak ada bukti bahawa pergaduhan mereka mempunyai kaitan dengan isu etnik tetapi mangsa yang terkena tikaman tersebut disahkan meninggal dunia di sebuah hospital pada pagi Jumaat.

Kematian lelaki itu menyebabkan berlakunya krisis dalam komuniti antara kumpulan penduduk Hausa dengan Yoruba.

Gambar fail menunjukkan seorang wanita berjalan dekat bangunan tiga tingkat yang musnah terbakar selepas pergaduhan etnik berlaku di Pasar Shasha selatan Nigeria pada minggu lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang wanita berjalan dekat bangunan tiga tingkat yang musnah terbakar selepas pergaduhan etnik berlaku di Pasar Shasha selatan Nigeria pada minggu lalu. - Foto AFP

Sebahagian etnik Yoruba kemudiannya cuba untuk melakukan tindakan balas berikutan kematian tukang kasut tersebut dan perbalahan itu kemudian merebak sehingga di luar pasar Shasha.

Menurut AFP, ekoran pergaduhan yang merebak, dua pemuda berketurunan Yoruba terbunuh di tempat kejadian manakala 23 pedagang dan buruh terbunuh dalam perbalahan tersebut.

Bagaimanapun, polis negeri Oyo dilaporkan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan pengesahan tentang jumlah orang yang terbunuh itu.

Banyak kedai dan rumah dibakar manakala beberapa penduduk berketurunan Yoruba melakukan sekatan di lebuh raya dan menyoal para pengguna lebuh raya berkenaan bagi mengetahui identiti etnik mereka.

Sumber-sumber portal berita Premium Times berkata, penduduk yang dikenal pasti sebagai berketurunan Hausa dipaksa keluar dari kenderaan dalam sekatan di lebuh raya tersebut dan diserang oleh para samseng sehingga terdapat saksi yang menyatakan terdapat etnik itu dibunuh.

Pasar Shasha yang menjadi tempat bermulanya pergaduhan itu kemudian diarahkan tutup oleh Gabenor Negeri Oyo, Seyi Makinde berikutan pelanggaran keamanan di kawasan tersebut.

Penduduk berketurunan Yoruba sebelum ini dilaporkan penghuni majoriti di negeri itu manakala komuniti etnik Hausa pula berasal dari utara negeri Nigeria. Bagaimanapun mereka sebelum ini telah hidup dalam keadaan aman.

Negara tersebut mempunyai 250 etnik dengan sebahagian daripada penduduk di selatan Nigeria menganggap kerajaan Persekutuan banyak memberi layanan yang lebih baik kepada masyarakat yang tinggal di bahagian utara.

Perbalahan dan pertempuran yang terjadi itu dikatakan berlaku ketika meningkatnya ketegangan etnik melibatkan penduduk berketurunan Fulani yang sebahagiannya terdiri daripada pengembala haiwan dengan penduduk di selatan negara tersebut.

Nigeria turut berdepan dengan kumpulan Boko Haram di negara tersebut. - Foto AFP
Nigeria turut berdepan dengan kumpulan Boko Haram di negara tersebut. - Foto AFP

Sebelum ini, Presiden negara itu pernah melarang pemimpin-pemimpin politik supaya tidak menggunakan sentimen etnik untuk kepentingan politik.

Namun, beberapa pemimpin di peringkat daerah menuduhnya tidak bertindak dengan tegas kerana beliau sendiri berasal daripada etnik Fulani.

Berikutan terjadinya keganasan itu, Presiden Nigeria turut membuat rayuan di akaun Twitternya bagi meminta supaya mana-mana etnik atau agama tidak mengapi-apikan kebencian dan keganasan bagi menentang kumpulan tenik lain.

Negara itu juga telah terlibat dalam ketegangan antara kumpulan penduduk yang beragama Islam yang tinggal di utara dengan penduduk beragama Kristian yang menetap di bahagian selatan Nigeria sejak sekian lama.

Pihak berkuasa keselamatan juga berdepan dengan masalah penculikan daripada kumpulan-kumpulan bersenjata seperti Boko Haram dan pemberontakan Islam di timur laut negara tersebut.

Justeru, Parti Demokratik Rakyat (PDP) yang membangkang di negara itu mendesak supaya kerajaan Persekutuan mencari penyelesaian tang berkekalan bagi mengelakkan peningkatan ketegangan etnik di negara tersebut. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!