Suami dipercayai pengaruh isteri ambil dadah sejak lima tahun lalu

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Suami kepada seorang warden wanita Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas yang direman pada Isnin kerana positif dadah turut ditahan polis kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di Balai Polis Tengkera selepas hasil ujian saringan air kencingnya turut didapati positif dadah jenis syabu.

"Berikutan isterinya yang ditahan positif dadah jeni syabu, polis kemudian menahan lelaki berkenaan yang juga seorang penganggur.

"Suspek mengakui terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak 17 tahun lalu dan dipercayai mempengaruhi isterinya mengambil dadah sejak lima tahun lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihak polis masih menyiasat pembabitan individu lain termasuk pembekal dadah kepada pasangan berkenaan.

"Warden wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan dia mempunyai tujuh anak berusia antara 13 tahun hingga empat bulan yang perlu dijaga, namun akan tetap meneruskan prosedur mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, suami suspek pula akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang warden wanita di SHG ditahan reman selama tiga hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penagihan dadah.

Artikel Berkaitan:

Wanita berusia 40 tahun memiliki lapan anak itu juga didakwa bermasalah di tempat kerja sebelum dibawa oleh penyelia sekolah berkenaan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah dan dia ditahan kira-kira jam 7.15 malam pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN:Warden wanita sekolah Henry Gurney direman akibat dadah