Lantikan TPM solusi terakhir elak tiga penjuru

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif penawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada UMNO dilihat sebagai solusi terakhir kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan potensi pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, desas-desus tawaran jawatan TPM kepada UMNO sudah acapkali kedengaran, namun beliau berpandangan agenda itu relevan dilaksanakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini bagi membuktikan semangat setiakawan antara dua parti berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu juga menjuarai hasrat penyatuan parti-parti yang berada dalam rumpun UMNO, di mana Bersatu dan Pas merupakan serpihan parti itu dan mempunyai ideologi hampir sama iaitu nasionalis Islamik pragmatik.

"Bila UMNO dan Bersatu berasal daripada satu rumpun, sepatutnya mereka lebih mudah berbincang dan bekerjasama menjayakan penyatuan parti Melayu Islam bersama Pas.

"Sekiranya isu 'equal partnership' terus menjadi halangan UMNO dan Bersatu untuk memuktamadkan kerjasama, saya fikir penawaran jawatan TPM kepada UMNO adalah solusi terakhir yang boleh dilakukan Bersatu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas dilema dihadapi parti-parti Melayu dalam usaha membentuk koalisi perdana bagi menghadapi PRU15.

Dilema itu timbul susulan hubungan antara UMNO dan Bersatu dilihat semakin terjejas selepas beberapa UMNO negeri termasuk Perak memberi kata dua kepada pemimpin Bersatu supaya tidak mengacau dan bertanding di kawasan Parlimen yang dimenangi UMNO.

Ramalan dibuat institusi kajian politik, O2 Research Malaysia menjangkakan gabungan PN, BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) mampu memenangi sekurang-kurangnya 136 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan lebih kukuh sekiranya kerjasama politik sesama mereka berjaya dimuktamadkan.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik sokongan idea pemberian jawatan TPM kepada UMNO, Shukri berpandangan jawatan itu seharusnya digalas oleh pemimpin UMNO yang berada dalam Kabinet seperti Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, justifikasi jawatan itu diberikan kepada pemimpin UMNO yang berada dalam Kabinet kerajaan PN kerana mereka sudah memahami gerak kerja kerajaan sedia ada.

"Selain itu, UMNO perlu ingat tawaran jawatan TPM juga akan menjadi satu cabaran besar kepada parti itu terutama dalam aspek pemimpin mana yang akan dilantik menggalas jawatan itu.

"Penawaran jawatan itu bagus dan sihat kepada UMNO, tetapi akan jadi racun sekiranya tidak dikendalikan pucuk kepimpinan parti sebaiknya," katanya