Jumlah penyakit jantung membimbangkan

Tetamu menyaksikan demostrasi bantuan awal kecemasan. Gambar kecil, Ahmad Tajuddin.
Tetamu menyaksikan demostrasi bantuan awal kecemasan. Gambar kecil, Ahmad Tajuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah pesakit kardiovaskular atau penyakit jantung menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia berdasarkan rekod Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang mendapati kira-kira-kira dua pertiga daripada 500 pesakit yang mendapatkan rawatan setiap hari terdiri daripada pesakit kardiovaskular merangkumi penyakit seperti angin, serangan jantung dan strok.

Ketua Jabatan Kecemasan HTAR Klang, Dr Ahmad Tajuddin Mohd Nor berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada penyakit itu adalah pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

“Tidak dinafikan faktor genetik atau keturunan turut menyumbang kepada penyakit ini, namun peratusan besar yang kita dapati adalah disebabkan gaya hidup dan pemakanan.

“Lebih membimbangkan lagi, kita turut mendapati terdapat penurunan usia pesakit daripada usia lewat 40-an hingga 60 tahun kepada seawal usia 40 tahun ketika ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik selesai menyempurnakan perasmian

Hari Kesihatan dan Keselamatan Pekerja Karangkraf 2019 di Kompleks Karangkraf, di sini, hari ini.

Ahmad Tajuddin yang juga merupakan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan berkata, antara tanda-tanda awal seseorang itu diserang penyakit berkenaan adalah cepat letih, sakit dada dan sesak nafas.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya ada tanda-tanda ini adalah dinasihatkan kepada semua untuk segera membuat pemeriksaan kesihatan kerana mencegah itu jauh lebih baik daripada merawat.

“Malah, saya juga mencadangkan supaya usia 40 tahun merupakan tempoh munasabah untuk seseorang itu terutamanya lelaki membuat pemeriksaan kesihatan. Lebih baik lagi ia dilakukan secara berkala,”katanya.

Sementara itu, kira-kira 700 kakitangan Karangkraf mengambil bahagian dalam majlis berkenaan.

Antara aktiviti sampingan lain yang turut diadakan adalah derma darah, pemeriksaan kesihatan secara percuma, ceramah, pameran pelbagai agensi dan sebagainya.

Setakat jam 3 petang tadi, lebih 50 orang tampil menderma darah pada program itu.