Kedah benarkan masjid, surau di zon hijau dan kuning dibuka

Gambar kecil: Mohd Yusri Md Daud
Gambar kecil: Mohd Yusri Md Daud
A
A
A

ALOR SETAR - Masjid dan surau di zon hijau dan kuning di Kedah dibuka kapasiti keseluruhan dengan penjarakan fizikal minimum satu meter bagi solat Jumaat dan solat fardu berjemaah selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Jumaat ini sehingga 4 Mac depan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Mohd Yusri Md Daud berkata, bagi zon jingga pula jumlah jemaah bergantung kepada keluasan ruang solat utama masjid atau surau dengan penjarakan fizikal minimum satu meter.

Menurutnya, bagi zon merah pula maksimum 50 orang ditetapkan tidak termasuk pegawai dan jawatankuasa masjid atau surau bagi solat Jumaat, manakala bagi solat fardu berjemaah terhad kepada pegawai dan jawatankuasa masjid atau surau serta anak kariah yang tidak melebihi 20 orang.

"Penentuan zon adalah berdasarkan mukim bagi kes aktif daripada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan tertakluk atas nasihat dan pandangan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah (JKKD) Khas Isu Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, masjid dan surau hanya akan dibuka satu jam sebelum waktu solat fardu dan satu jam 30 minit sebelum waktu solat Jumaat serta akan ditutup selepas solat disempurnakan.

Menurutnya, tempoh pembukaan dilanjutkan jika terdapat penganjuran program keagamaan dan majlis ilmu, pengurusan jenazah (bukan Covid-19) serta solat jenazah.

"Sekiranya mencapai bilangan maksimum jemaah yang ditentukan, pihak jawatankuasa hendaklah memastikan tiada lagi pergerakan keluar-masuk ke premis masjid dan surau.

"Jawatankuasa masjid dan surau bertanggungjawab membuat ketetapan bersesuaian berkaitan pemilihan ahli kariah yang dibenarkan serta hal ehwal pengurusan jemaah dalam memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti-aktiviti keagamaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah, Putrajaya dan Labuan akan beralih daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kepada PKPB.

Menurutnya, penduduk di negeri yang dikenakan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti sebelum PKP 2.0 dibenar mengadakan aktiviti sosial tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.