Nafi dakwaan 30 ketua cawangan Warisan keluar parti

Hasbullah Rauddah
Hasbullah Rauddah
A
A
A

SEMPORNA - Dakwaan 30 ketua cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Parlimen Semporna keluar parti itu adalah tidak benar.

Mereka yang hadir dalam perjumpaan pada Selasa mendakwa perjumpaan itu tidak jelas dan kehadiran dimanipulasikan.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Semporna Hasbullah Rauddah menafikan sekeras-kerasnya bahawa individu yang mengisytiharkan diri sebagai ketua cawangan yang berdaftar dalam parti Bahagian Semporna.

"Berdasarkan gambar yang ditularkan, individu dalam gambar itu ada antaranya ahli dan bekas ketua cawangan UMNO. Ada yang masih bersama kita dan mereka mengakui bahawa agenda perjumpaan yang diadakan dimanipulasi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Hasbullah lagi, kalau benar individu yang mengaku sebagai ketua cawangan bertindak keluar parti namun ahli dalam cawangan masih setia bersama perjuangan Warisan tidak kira cawangan yang berdaftar berstatus penaja atau cawangan yang telah lulus dari pendaftar pertubuhan.

"Kita mengakui memang terdapat individu yang memohon untuk membuka cawangan baharu yang berstatus penaja. Namun saya sekali lagi menegaskan bahawa individu itu bukan ketua cawangan yang berdaftar, kalau ada pun hanya sebagai ahli biasa saja.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan parti Bahagian akan mendapatkan kepastian daripada individu terbabit sama ada benar-benar keluar parti atau sebaliknya," katanya.

Mengulas lanjut berhubung isu penempatan penduduk Kampung Bangau-Bangau, Hasbullah berkata, untuk rekod pada Julai 2020 ketika pemerintahan Warisan sebanyak RM8.2 juta peruntukan telah diluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan itu untuk pembinaan lebih 300 rumah di kawasan terbabit.

"Perkara ini membuktikan bahawa individu yang mengaku sebagai ketua cawangan Bangau-Bangau tidak mengetahui perkara yang berlaku di kampung terbabit dan dengan angkuhnya menyatakan Warisan gagal membela nasib dan mengotakan janji kepada masyarakat di kampung berkenaan," katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan punca 30 ketua cawangan Warisan di kawasan Parlimen Semporna keluar parti akibat nasib mereka tidak terbela.

Bekas ketua cawangan Kampung Bangau-Bangau Panglima Atani, Noorasmah Omar mendakwa kepimpinan Warisan gagal mengotakan janji kepada rakyat termasuk mendirikan penempatan bagi mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau pada 2015.