Keluarga mangsa banjir di Pahang terima bantuan RM500

WAN ROSDY
WAN ROSDY
A
A
A

KUANTAN - Setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau rumah saudara-mara berikutan banjir pada Januari lalu bakal menerima bantuan tunai sebanyak RM500.

Sumbangan tunai dengan nilai sama juga akan diberikan kepada peniaga gerai dan rumah kedai yang turut terkesan dengan bencana sama di seluruh negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerima bantuan tunai itu melibatkan 18,726 ketua isi rumah (KIR) dengan jumlah peruntukan kira-kira RM9.4 juta.

Menurutnya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

Katanya, Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR dengan nilai keseluruhan kira-kira RM4.3 juta.

“Bagaimanapun sumbangan Kerajaan Persekutuan itu hanya melibatkan kira-kira 8,600 KIR,” katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri juga menetapkan pemberian Bantuan Bayaran Sewa Rumah selama tiga bulan kepada KIR yang kehilangan rumah asal dan rumah tidak dapat diduduki, akibat banjir baru-baru ini.

“Jumlah KIR terlibat ialah 27 penerima dengan jumlah peruntukan RM16,800.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri juga bersetuju menyumbangkan sebuah komputer riba kepada penerima di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Negeri Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021,” katanya.

Beliau berkata, melalui bantuan kewangan serta peralatan yang diumumkan itu dapat meringankan beban ditanggung mangsa banjir terlibat selain membantu menyelesaikan masalah pembelajaran dalam tempoh Covid-19 ketika ini.