Belum terima kunci PPR Rantau: Aminuddin

Aminuddin (kanan) pada sidang media di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin (kanan) pada sidang media di Wisma Negeri pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menafikan telah menerima kunci rumah bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau yang siap sepenuhnya sejak tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang kunci rumah bagi projek tersebut yang dikendalikan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, pihaknya masih dalam proses rundingan bersama KPKT berhubung beberapa dasar PPR yang melibatkan proses pemilikan perumahan tersebut.

“Saya berharap semua pemilik dapat bersabar, sehinggalah kita menerima keputusan muktamad daripada pihak KPKT.

“PPR itu masih di bawah KPKT, sebelum ini mereka maklumkan mahu serahkan kepada kerajaan negeri, dan kita masih lagi menunggu untuk pelaksanaan itu, kalau boleh kita pun hendak segerakan serah kunci kepada pemilik,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Negeri pada Rabu.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas isu kelewatan penyerahan hak milik PPR Rantau, yang sudah siap sepenuhnya sejak tahun lalu.

Sementara itu, seorang pembeli yang ditemui, Rasidah Samsudin,47,berkata dia dimaklumkan bahawa boleh masuk ke rumah baharu itu pada penghujung November 2020, namun sehingga kini tiada khabar berita.

Katanya, dia sudah berkali-kali bertanya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tarikh serah kunci, namun tidak menerima sebarang jawapan yang pasti.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap sangat penyerahan kunci rumah ini dapat dilakukan segera kerana rumah yang saya duduk sekarang ini hampir dilelong kerana tidak mampu bayar.

“Saya berharap sebelum rumah yang saya duduk dilelong, saya dapat masuk ke rumah baru ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung keresahan 100 pemilik unit PPR Rantau yang masih tidak menerima kunci rumah masing – masing, walaupun projek berkenaan telah siap sepenuhnya pada tahun lalu.