MASkargo laksana persiapan rapi penerimaan vaksin

Persiapan penerimaan Vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos di Zon Bebas Komersil (FKZ) MasKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu. - Foto Bernama
Persiapan penerimaan Vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos di Zon Bebas Komersil (FKZ) MasKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) sedang memperhebatkan persiapan di Advanced Cargo Centre (ACC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan ketibaan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech ke Malaysia pada Ahad ini, berjalan lancar.

Ketua Pegawai Operasi MASkargo, Mohd Zulkefly Ujang berkata, beberapa siri latihan membawa vaksin dengan suhu ultra sejuk -70 darjah Celsius telah dijalankan sejak lima bulan lepas bagi memastikan keberkesanan vaksin tersebut tidak terjejas.

“Persiapan penerimaan vaksin kini 110 peratus," katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan penerimaan vaksin Covid-19 di ACC di sini, hari ini.

Mohd Zulkefly berkata MASkargo yang diberi tanggungjawab menyelaras proses penerimaan vaksin di KLIA turut memastikan setiap pekerja yang bertugas pada hari penerimaan vaksin itu telah melalui kursus pengendalian vaksin.

Katanya, MASkargo mempunyai kepakaran dalam pengendalian vaksin kerana telah menguruskan penerimaan pelbagai jenis vaksin setiap hari selain mempunyai fasiliti yang lengkap.

"Kita terima pelbagai jenis vaksin setiap hari, cuma yang membezakannya adalah suhu yang diperlukan untuk vaksin tersebut," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa memaklumkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad (21 Februari), menjelang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa bermula pada 26 Feb ini.

Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan. - Bernama