Warga emas miliki senapang tiruan ditahan

No Image Caption
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tindakan seorang warga emas melepaskan tembakan sehingga terkena pintu kereta bahagian belakang jirannya mengundang padah apabila dia ditahan di rumahnya di Taman Ulu Choh di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati senapang tersebut dibuat lelaki berusia 63 tahun selepas belajar melalui Youtube.

"Ketika jiran suspek melalui Jalan Senduduk, kira-kira jam 3.15 petang pada Selasa, dia menyedari keretanya terkena sesuatu yang disyaki tembakan dari rumah berdekatan jalan tersebut. Pintu kereta bahagian belakang sebelah kanan yang dipandu itu terdapat kesan tembakan.

"Susulan itu, polis menggeledah kediaman suspek dan menjumpai satu laras senapang tiruan pendek, satu laras senapang tiruan panjang dan tiga biji guli yang disimpan di bawah almari bahagian dapur rumah tersebut.

"Polis turut merampas sehelai seluar pendek warna hitam tertera tulisan NYJC," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dzulkhairi berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku disebabkan oleh sikap pengadu yang sering membunyikan keretanya dengan kuat sehingga mengganggu jiran lain.

"Suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan polis akan menjalankan siasatan terperinci bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel Berkaitan: