Kadar Rt Covid-19 di Negeri Sembilan masih tinggi: MB

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan tidak mustahil akan terus meningkat sekiranya masyarakat masih alpa dan mengabaikan protokol kesihatan serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata,ia susulan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di negeri ini masih lagi tinggi iaitu 1.01 setakat Isnin lepas, lebih tinggi daripada Rt nasional iaitu 0.88, bagi tempoh sama dan akan memberi tekanan kepada sistem kesihatan negeri berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu, beliau berkata, setakat Selasa, 64 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 13,268 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 12,504 kes pulih, 735 kes dalam rawatan dan 29 kematian direkodkan.

“Keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 menunjukkan perkembangan yang positif apabila data pergerakan 14 hari Covid-19 menunjukkan daerah Rembau dan Tampin bertukar daripada zon merah kepada zon kuning manakala Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah kepada zon jingga,” katanya.

“Kita harus bermuafakat dan memainkan peranan lebih proaktif dalam usaha untuk melandaikan keluk dan seterusnya memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya sambil mengingatkan masyarakat supaya terus patuh SOP.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk membuka semula permohonan lesen perniagaan barangan lusuh dan terpakai yang dibekukan sebelum ini dengan tambahan syarat baharu iaitu premis perlu dibuka di kawasan perindustrian.

“Pemilik premis dan pemegang lesen yang sedia ada juga diberi masa setahun untuk membersihkan lokasi semasa dan berpindah ke lokasi yang telah ditetapkan. Ini bagi memastikan keselamatan dan kebersihan dapat dijaga,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: