Dewan Rakyat perlu segera bersidang: Noh

Noh (dua dari kiri) bergambar pada majlis penyampaian alat tulis kepada calon SPM di SMk Dato' Harun pada Rabu.
Noh (dua dari kiri) bergambar pada majlis penyampaian alat tulis kepada calon SPM di SMk Dato' Harun pada Rabu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan digesa mengadakan sidang Dewan Rakyat sama ada sebelum atau selepas semua ahli Parlimen menerima vaksin Covid-19 bagi mengekalkan amalan demokrasi selain mendengar pandangan dalam menghadapi penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, Dewan Rakyat sepatutnya terus bersidang bagi mengetengahkan masalah dihadapi rakyat meskipun dalam tempoh darurat.

"Sama ada terima vaksin atau pun tidak, Dewan Rakyat perlu bersidang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian alat tulis kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Harun di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, seramai 1,200 calon SPM di lapan sekolah menengah Parlimen Tanjong Karang menerima sumbangan berkenaan sebagai motivasi dan semangat yang akan menduduki peperiksaan itu Isnin depan.

Noh yang juga Pengerusi UMNO Selangor berkata, dalam keadaan negara menghadapi Covid-19 kerajaan perlu mendengar pandangan ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat.

"Ahli Parlimen terdiri daripada pelbagai kawasan. Contohnya, saya mewakili penduduk luar bandar, manakala ada wakil rakyat (ahli Parlimen) lain mewakili suara separa bandar dan bandar.

"Mungkin ada beberapa perkara (di kawasan tertentu) kerajaan terlepas pandang dan jika Parlimen bersidang banyak masalah rakyat dapat diselesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan Perlembagaan, Dewan Rakyat masih boleh bersidang bagi tempoh enam bulan walaupun darurat dikuatkuasakan.

Noh berkata, kali terakhir sidang itu diadakan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021 pada Disember tahun lalu.

"Bagi saya, tidak perlu tunggu sehingga Jun depan dan ia boleh dilakukan pada Mac ini kerana suara rakyat perlu didengari oleh kerajaan," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dalam kumpulan penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula Jumaat depan.

Beliau berkata, suntikan tersebut akan diberikan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kerajaan ataupun pembangkang.