Bantuan ‘one-off’ petugas KKM 'indah khabar dari rupa': Cuepacs

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kecewa apabila pemberian bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya indah khabar dari rupa.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia berikutan pemberian bantuan itu mempunyai kadar dan kelayakan yang sangat berbeza sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Melalui surat edaran yang dikeluarkan KKM pada 11 Februari lalu, beliau berkata, kadar dan kelayakan bagi pemberian 'one-off' telah ditetapkan kepada kadar penuh RM500 dan kadar separuh RM250.

“Petugas KKM hanya layak mendapat kadar penuh RM500 jika telah dibayar Elaun Khas Covid-19 tahun lalu pada kadar penuh selama tiga bulan atau lebih manakala mereka yang menerima elaun kurang daripada tiga bulan atau kadar separuh pula hanya layak menerima RM250.

“Lebih mengecewakan apabila mereka perlu membuat tuntutan ‘one-off’ ini secara manual dengan mengisi borang tuntutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut Adnan berkata, tindakan KKM itu bukan sahaja boleh menyebabkan semangat perjuangan barisan hadapan luntur malah memberi tanggapan negatif kepada kerajaan.

Menurutnya, tindakan membezakan pemberian 'one-off' kepada dua kadar yang berbeza hanya bersandarkan status penerima Elaun Khas Covid-19 adalah tidak adil.

“Walaupun petugas tidak mendapat tuntutan penuh elaun itu tetapi tidak bermaksud sumbangan petugas berkurangan.

“Pandemik ini menyebabkan penambahan beban tugas. Sebagai contoh petugas barisan hadapan perlu digilirkan bagi memastikan mereka mempunyai masa untuk merawat kes lain dan mengelakkan keletihan melampau,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, Cuepacs menggesa KKM memansuhkan semua syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan dalam pemberian 'one-off' tersebut.

Katanya, semua petugas KKM perlu diberi RM500 tanpa mengambil kira syarat tambahan.

“Cuepacs berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera supaya petugas barisan hadapan ini memberi fokus kepada khidmatnya untuk rakyat dan negara,” katanya.