X

Kindly register in order to view this article
!

Arab Saudi diharap pertimbang jemaah Malaysia

Mustapha (kanan) sedang berbincang dengan Syeikh Abdul Rahman mengenai isu jemaah Malaysia untuk mengerjakan haji dan umrah pada tahun ini.
A
A

SHAH ALAM - Kedutaan Arab Saudi diharap dapat memberi perhatian dan pertimbangan agar jemaah dari Malaysia dapat mengerjakan ibadah haji dan umrah pada tahun ini.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican berkata, ini kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah berusaha keras agar jemaah Malaysia dapat mengerjakan ibadah haji dan umrah dari tahun lalu.

“Tetapi penularan pandemik Covid-19 yang begitu ketara memaksa ia ditangguhkan hasil daripada rundingan dan perbincangan bersama pihak berautoriti negara bagi mendapatkan jalan terbaik untuk jemaah Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Atase Agama Kedutaan Diraja Arab Saudi, Syeikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Robian di Kuala Lumpur.

Mustapha menambah, pihak Tabung Haji serta syarikat agensi haji dan umrah juga diharap dapat berfungsi dengan baik walaupun dengan jumlah jemaah yang terhad.

“Sekurang-kurangnya ia membantu menggerakkan sektor pelancongan negara. Dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan Arab Saudi dapat membantu kedua-dua negara memudahkan urusan jemaah kita di sana.

“Ini memandangkan negara kita tidak tersenarai dalam 20 negara yang dilarang untuk memasuki Arab Saudi,” katanya.

Mustapha turut memaklumkan bahawa segala syor yang dikemukakan oleh NGO yang diketuainya itu akan diteliti dan diperhalusi dengan sewajarnya oleh Syeikh Abdul Rahman.

“Oleh itu, pihak berkuasa Malaysia perlulah memainkan peranan penting bagi memanjangkan permohonan kepada kerajaan Arab Saudi termasuk menggunakan saluran diplomatik yang sedia ada bagi memperkukuhkan kerjasama tersebut,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!