X

Kindly register in order to view this article
!

Empat termasuk pegawai polis parah nahas dua kenderaan

A
A

ALOR SETAR - Empat individu termasuk seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu, Perak cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang Empat Carok Nau, Jalan Baru dekat Baling, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.00 malam itu, sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki lima sekeluarga telah terlanggar kereta polis jenis Nissan Xtrail yang dipandu seorang pegawai polis lelaki berpangkat Inspektor yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Pengkalan Hulu.

“Pemandu kereta Proton Waja yang berumur 30 tahun bersama isteri, dua anak lelaki dan adik lelaki kepada isterinya sedang dalam perjalanan dari arah Baling menghala ke Kupang sebelum terlanggar kenderaan yang dipandu pegawai polis berumur 39 tahun yang sedang dalam perjalanan menghala ke IPD Baling.

“Kemalangan menyebabkan kereta Proton Waja berkenaan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar penghadang jalan manakala kereta pegawai polis itu berpusing di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu kereta, isterinya yang berumur 28 tahun, anak lelaki mereka berumur lima tahun dan pegawai polis berkenaan cedera parah, manakala dua lagi penumpang berumur sembilan dan 11 tahun mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mereka menerima rawatan di Hospital Kulim serta Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan siasatan mendapati pemandu kereta Proton Waja yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah itu tidak mempunyai lesen memandu,” katanya yang turut memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!