Kerajaan diminta beri penjelasan hubungan pelanggan firma Circles

Syed Ibrahim Syed Noh
Syed Ibrahim Syed Noh
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menggesa kerajaan memberi penjelasan berkenaan hubungan pelanggan kepada firma Circles yang didakwa mengamalkan jenayah penggodaman sistem telefon bimbit di seluruh dunia.

Menurutnya, kajian oleh Citizen Lab dari Universiti Toronto, Amerika Syarikat menunjukkan Malaysia antara pelanggan dan sebahagian daripada jaringan hub kepada sistem trafik milik Circles yang merupakan anak syarikat milik Israel, NSO Group.

“Perkara ini menimbulkan kebimbangan berkaitan ancaman terhadap sistem keselamatan siber dan telekomunikasi Malaysia.

“Isu ini tidak boleh dipandang enteng mengambil kira faktor gangguan kepada ruang privasi individu dan keselamatan komunikasi maklumat dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut laporan The Guardian pada 22 Disember lalu, NSO Group kini berdepan tindakan undang-undang di mahkamah Amerika Syarikat atas dakwaan menyediakan medium penggodaman untuk memperoleh maklumat bersasar secara tidak sah.

Antara sasaran penggodaman tersebut ialah para diplomat, ahli politik, pejuang hak asasi manusia dan wartawan.

Beliau yang juga pengerusi Keadilan Negeri Johor berkata, tindakan melanggan khidmat firma NSO Group ternyata bertentangan dengan prinsip dan dasar negara untuk tidak melakukan sebarang hubungan dan perdagangan dengan Israel dan entitinya.

Tambahnya, perkara itu akan mencemarkan kelantangan suara dan usaha kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan dan individu terhadap kekejaman tingkah laku Israel kepada penduduk Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Saya menggesa kerajaan melalui Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menyiasat dan memberikan penjelasan berkenaan perkara ini.

“Dalam era digitalisasi dan komunikasi digital ini, ancaman serangan terhadap keselamatan siber wajar dipandang serius kerana ia melibatkan sektor pertahanan, ekonomi dan hubungan negara,” katanya.