Najib mahu beri sokongan kepada Rosmah, prosiding 1MDB lewat sejam

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB pada Rabu.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak esok, akan bermula lewat sejam kerana bekas Perdana Menteri itu mahu memberi sokongan moral kepada isterinya.

Esok, Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan membaca keputusan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor dibebas atau diperintah bela diri atas tiga pertuduhan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak pada jam 9 pagi.

Ketika prosiding kes rasuah 1MDB di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, pihaknya juga perlu berada dalam prosiding berkenaan.

Katanya, ini akan menyebabkan beberapa timbalan pendakwaan raya bagi kes 1MDB tidak dapat berada di mahkamah mengikut jadual asal.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon kepada mahkamah agar prosiding dilewatkan.

"Anak guam saya juga perlu memberi sokongan kepada Datin Seri Rosmah esok," katanya.

Selepas mendengar permohonan itu, Sequerah membenarkan prosiding bermula jam 10 pagi.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam mewakili Najib diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.