Vaksin Covid-19: Kerajaan jamin PATI tidak ditahan

KHAIRY JAMALUDDIN - FOTO: BERNAMA
KHAIRY JAMALUDDIN - FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memberi jaminan untuk tidak menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini yang mendaftarkan diri secara sukarela sebagai penerima vaksin Covid-19.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak termasuklah kedutaan, organisasi antarabangsa, badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendekati golongan tersebut.

"Pihak berkenaan akan membawa PATI untuk diberi vaksin dengan jaminan mereka tidak akan ditangkap.

"Itu mesej penting yang perlu disampaikan agar PATI boleh tampil secara sukarela menerima vaksin ini," katanya dalam sidang akhbar mengenai Penyelarasan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) pada Rabu.

Menurutnya, bantuan daripada NGO dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut diperlukan bagi mendekati pekerja asing dan pelarian di negara ini.

"Kita harus membina keyakinan terhadap mereka agar golongan ini tampil secara sukarela menerima vaksin," katanya.

Beliau berkata, dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), negara memerlukan seramai yang mungkin untuk menerima vaksin bagi mengekang penularan virus itu.

"Untuk menjayakannya, kita memerlukan kerjasama semua pihak iaitu pemimpin masyarakat dan NGO untuk menerangkan kepada komuniti di lapangan mengenai vaksin Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairy berkata, KDN dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah diarahkan untuk mengemukakan pelan implimentasi bagi pekerja asing.

"Ini bertujuan untuk mengenal pasti pekerja asing dan memastikan majikan memberi segala maklumat pekerjanya untuk proses vaksinasi," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pelan tindakan kerajaan terhadap pekerja asing, PATI dan pelarian bagi memastikan golongan itu tidak tercicir daripada mendapatkan vaksin Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, kerajaan dijangka akan menandatangani kontrak perolehan vaksin Covid-19 keluaran Johnson and Johnson dalam masa terdekat selepas mengambil kira syor Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

"Rundingan berkenaan dengan maklumat klinikal nampaknya setakat ini sangat positif dan kira masih lagi dalam proses rundingan," katanya.

Katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dijangka akan memeterai kontrak perjanjian itu.

Tmbahnya, vaksin keluaran Johnson and Johnson yang hanya mempunyai satu dos suntikan dijangka akan diagihkan ke kawasan pedalaman dan migran dan PATI.