Lima anjing 'kawal' port main mahjung

Lapan individu ditahan di sebuah rumah sewa kerana melanggar SOP PKP dengan bermain mahjung.
Lapan individu ditahan di sebuah rumah sewa kerana melanggar SOP PKP dengan bermain mahjung.
A
A
A

BUTTERWORTH - Taktik seorang warga emas menempatkan lima ekor anjing di hadapan dan belakang sebuah rumah sewa yang dijadikan port bermain mahjung sebagai pemberi amaran tidak berhasil apabila kediaman itu diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 60 tahun yang bertindak sebagai penganjur itu menempatkan dua ekor anjing di hadapan rumah manakala tiga lagi di bahagian belakang.

Menurutnya, tujuan kesemua anjing itu diletakkan adalah untuk mengawal dan memberi isyarat sekiranya rumah tersebut diserbu pihak berkuasa.

Dua ekor anjing yang diletakkan penganjur sebagai pemberi amaran di sebuah rumah sewa yang dijadikan port bermain mahjung.
Dua ekor anjing yang diletakkan penganjur sebagai pemberi amaran di sebuah rumah sewa yang dijadikan port bermain mahjung.

"Walaupun penganjur telah meletakkan anjing di rumah sewa ini, namun hasil kecekapan polis, kita berjaya masuk sebelum menahan lapan individu iaitu dua wanita dan enam lelaki berusia lingkungan 44 hingga 60 tahun yang sedang bermain mahjung.

"Daripada lapan tangkapan itu, tiga daripada mereka merupakan warga emas termasuk penganjur. Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Jalan Kampung Paya di sini pada Rabu.

Beliau berkata, alasan yang diberikan oleh kesemua yang ditahan adalah kerana bosan berada di rumah menyebabkan mereka ke rumah tersebut untuk bermain mahjung.

"Saya percaya, mereka ke sini setiap hari untuk bermain mahjung sejak sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina lalu kerana bosan berada di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Penganjur yang juga tuan rumah tersebut telah memanggil rakan-rakannya untuk bermain manjung kerana terdapat tiga hingga empat buah meja di situ," katanya.

Tiga daripada empat warga asing ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Tiga daripada empat warga asing ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pula, polis menahan empat warga asing terdiri daripada tiga lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Indonesia di sebuah restoran di Jalan Raja Uda di sini.

Kesemua mereka ditahan dalam Ops Bersepadu Khas bersama beberapa agensi lain antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kesihatan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Noorzainy berkata, operasi yang melibatkan 96 anggota dan pegawai pelbagai agensi itu melibatkan lima kawasan antaranya Mak Mandin, Butterworth dan Kepala Batas.

Mengulas mengenai operasi tersebut, Noorzainy berkata, pegawai penguat kuasa MBSP terpaksa mengejar seorang pekerja wanita Indonesia sejauh 100 meter selepas dia cuba melarikan diri.

Katanya, wanita tersebut melarikan diri tanpa memakai kasut dan masih memakai apron ketika pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dijalankan di sebuah restoran menjual dim sum di Jalan Raja Uda di sini.

"Wanita yang berusia 46 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan dan dibawa semula ke restoran tempatnya bekerja. Ketika polis hendak menggarinya, dia sekali lagi meronta-ronta dan mengibas apron yang dipakainya menyebabkan berlaku sedikit kekecohan.

"Polis akhirnya berjaya mengawal keadaan apabila wanita tersebut digari. Selain itu, kita turut menahan empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun kerana tiada dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah," katanya.

Noorzainy berkata, polis telah mengeluarkan dua kompaun kepada seorang pemilik restoran berusia 29 tahun dan seorang pekerjanya kerana tidak mematuhi SOP PKP.

"Pekerja yang berusia 69 tahun itu dikompaun kerana tidak mengimbas di aplikasi MySejahtera, manakala majikannya dikompaun kerana tidak bertanggungjawab ke atas pekerjanya itu," katanya.