Tiada lagi alasan tangguh sidang Parlimen jika MP diberi vaksin

Chan Foong Hin
Chan Foong Hin
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada lagi alasan Dewan Rakyat ditangguhkan jika semua ahli Parlimen diberi vaksin Covid-19.

Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung semua wakil rakyat tanpa mengira perbezaan politik layak menerima vaksin di bawah fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, Parlimen harus bersidang semula pada Mei, sejurus selepas berakhirnya fasa pertama.

"Memandangkan sekarang semua ahli Parlimen akan menerima vaksin dan menjadi imun terhadap Covid-19.

"Apabila tamatnya fasa pertama program imunisasi itu, tiada lagi sebab untuk menyekat atau menggantung sidang Parlimen. Fasa pertama akan dilakukan bermul 26 Februari hingga April," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Foong Hin lagi, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, daripada 500,000 vaksin Pfizer-BioNTech yang diberikan dalam fasa pertama, 300,000 akan diberikan kepada barisan hadapan kakitangan perubatan dan kesihatan manakala 200,000 dos lagi untuk barisan hadapan daripada kalangan anggota keselamatan, pegawai kebajikan dan ahli politik.

"Saya gembira kerana Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 mengiktiraf kerja wakil rakyat sama ada pemerintah atau pembangkang kerana sering berjumpa orang ramai dan bergerak di lapangan.

"Pemberian vaksin ini membolehkan kita menjalankan tugas dan rasa lebih selamat tanpa bimbang dijangkiti atau menyebarkan Covid-19 kepada orang lain secara tidak sedar," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli politik penerima vaksin Covid-19 fasa pertama

Foong Hin dalam pada itu berkata, walaupun negara kini berada dalam keadaan darurat namun tidak bermaksud sidang Parlimen tidak boleh diadakan.

"Banyak agenda yang tertangguh seperti pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) serta pembentangan belanjawan tambahan 2021 bagi menangani peningkatan kes Covid-19.

"Darurat tidak harus meletakkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang dalam bahaya. Perkara penting terhadap asas negara mesti diteruskan, semakan terhadap eksekutif oleh badan perundangan mesti diteruskan.

"Rakyat semakin marah kerana 222 ahli Parlimen masih mempunyai gaji bulanan walaupun tidak menghadiri sidang Parlimen. Menggantung sidang Parlimen tidak akan memberikan kebaikan kepada negara," katanya.

Terdahulu, Foong Hin turut mencadangkan supaya semua pegawai Parlimen dan pembantu wakil rakyat yang menghadiri sidang Parlimen juga harus diberikan vaksin bagi mengatasi kebimbangan.