Kerajaan tak kompromi soal keselamatan di Sabah, Sarawak

Azis Jamman
Azis Jamman
A
A
A
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberi jaminan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan di Sabah dan Sarawak sekalipun negara dalam keadaan perbelanjaan berhemat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata kementerian itu dalam proses menyenaraikan aset keperluan pihak keselamatan di kedua-dua negara termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia.

Senarai keperluan ini dan justifikasinya akan diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi bagi memohon belanjawan tambahan, katanya pada sesi soal jawab lisan di sini ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang ingin tahu mengenai perancangan keselamatan di Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua negeri berisiko terhadap pencerobohan.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak keselamatan khususnya APMM bagi mencari mekanisme terbaik dalam menangani masalah kekurangan aset di negeri berkenaan. - Bernama
Artikel Berkaitan: