Bekalan minyak masak 1kg mencukupi di Palong

Seorang anggota KPDNHEP memeriksa bekalan minyak masak 1kg di sebuah premis perniagaan di Palong, Jempol pada Selasa.
Seorang anggota KPDNHEP memeriksa bekalan minyak masak 1kg di sebuah premis perniagaan di Palong, Jempol pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Bekalan minyak masak 1 kilogram (1kg) di kawasan Palong, Jempol mencukupi untuk keperluan penduduk setempat, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ain Arjuna Aziz Zaman.

Beliau berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kuala Pilah telah menjalankan pemeriksaan di empat premis runcit di kawasan terbabit pada Selasa, sejurus menerima aduan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bekalan minyak masak dalam polibeg 1kg ada dipamer di rak jualan dan mencukupi untuk menampung keperluan pengguna di kawasan berkenaan.

"Bekalan diperoleh peniaga daripada pembekal sekurang-kurangnya satu kali setiap bulan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya, semua pengusaha diingatkan untuk mengenakan had pembelian minyak masak 1kg sebanyak tiga unit bagi seorang pelanggan untuk setiap pembelian.

"Tindakan ini bertujuan untuk memastikan lebih ramai pengguna di kawasan berkenaan berpeluang memperoleh bekalan minyak masak 1kg," katanya.

Jelasnya, KPDNHEP Negeri Sembilan sentiasa menjalankan pemeriksaan secara harian bagi memantau bekalan minyak masak, terutamanya 1kg supaya sentiasa berada di pasaran.

Kata Ain Arjuna, sejak 1 Januari sehingga 16 Febuari ini, pihaknya telah membuat pemeriksaan bekalan minyak masak di 7,980 premis perniagaan termasuk premis di kawasan bandar dan luar bandar.

Artikel Berkaitan: