Polis buka kertas siasatan libat video tular kes pecah rumah

Video kejadian pecah rumah di Jalan Dedaru Taman Cahaya, Kota Puteri Masai, pada Isnin yang tular di media sosial.
Video kejadian pecah rumah di Jalan Dedaru Taman Cahaya, Kota Puteri Masai, pada Isnin yang tular di media sosial.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan kejadian pecah rumah di Jalan Dedaru Taman Cahaya, Kota Puteri Masai yang berlaku pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua suspek lelaki yang tidak dikenali penghuni rumah terbabit.

"Pengadu yang berusia 68 tahun pulang ke rumahnya pada jam 8 pagi dan mendapati keadaan rumah berselerak dan terdapat barang yang hilang.

"Pada awalnya dia tidak membuat laporan polis kerana hanya mengalami kerugian kecil," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut Mohd Sohaimi, CCTV kejadian itu telah dimuat naik di Facebook oleh anak pengadu yang kemudiannya mendapat perkongsian meluas di laman sosial.

Tambahnya, kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan telah dibuka dan polis sedang menyiasat kejadian itu serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Saddam Mohd Ibrahim di talian 016-3411001 atau 07-3864222.

Artikel Berkaitan: